Accessibility Tools

Skip to main content

MST salur khidmat nasihat keluarga, MPWP tumpu maslahat wanita

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 22 April — Mawaddah Support Team (MST) berfungsi memberi khidmat nasihat secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam menangani isu sosial keluarga serta memastikan kebajikan dan keperluan keluarga terus terbela, manakala Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) menumpukan kepada aspek pembangunan, pemerkasaan dan kemaslahatan wanita.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, kedua-dua entiti itu berperanan secara komplementari dalam memperkukuh kesejahteraan sosial masyarakat di Kelantan.

Menurutnya, MST berperanan sebagai pemudah cara dalam usaha memperkasakan institusi keluarga selaras dengan dasar Keluarga Mawaddah negeri.

“MST berfungsi memberi khidmat nasihat secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam menangani isu sosial keluarga serta memastikan kebajikan dan keperluan keluarga terus terbela.

“MST juga menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan tenaga profesional yang telah bersara supaya kepakaran mereka dapat dimanfaatkan semula untuk komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Tambahnya, MST di setiap Parlimen turut menyalurkan pandangan dan cadangan kepada kerajaan negeri berkaitan isu semasa melibatkan institusi keluarga, termasuk aspek hak dan kesejahteraan.

Antara program dilaksanakan MST termasuk Ziarah Mahabbah Keluarga Mawaddah yang melibatkan 65 keluarga di seluruh negeri, selain program ziarah keluarga berisiko pada 2025 yang menyasarkan 20 keluarga di setiap Parlimen melibatkan prospek penjara dan klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“MST juga merancang pelaksanaan program Big Hero pada 2026 yang melibatkan 150 lelaki di setiap Parlimen terdiri daripada prospek penjara dan klien AADK.

“Selain itu, program Rehat dan Rawat bagi keluarga berisiko, khususnya yang terlibat dalam kes dadah, akan dilaksanakan pada 2026 dengan penyertaan 10 keluarga bagi setiap Parlimen,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan MPWP pula memfokuskan kepada pembangunan dan pemerkasaan wanita melalui pelbagai program sosial dan kebajikan.

Antara inisiatif MPWP termasuk sesi libat urus pemerkasaan sosial wanita, program “We Love We Care” yang menangani sekurang-kurangnya 10 kes keganasan rumah tangga di setiap Parlimen serta bantuan Cakna Hawa.

“Kedua-dua entiti ini bergerak seiring di peringkat Parlimen bagi memastikan impak menyeluruh kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh institusi keluarga dan memperkasa wanita,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!