Lima inisiatif strategik pacu Hab Halal Kelantan ke piawaian antarabangsa
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 22 April — Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan lima inisiatif strategik dalam pembangunan Hab Halal yang meliputi aspek tadbir urus, pensijilan, pembangunan industri serta pematuhan piawaian antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan negeri dalam ekosistem halal.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, inisiatif tersebut dirangka secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan industri halal negeri lebih tersusun, berdaya saing dan memenuhi standard global.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YBM Ku Mohd Zaki Ku Hussin pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya, antara langkah utama ialah penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan (MPIHNK) yang dirasmikan pada 4 September 2025, dengan mesyuarat Jawatankuasa Induk pertama diadakan pada 15 Februari lalu bagi menyelaras hala tuju strategik serta program pembangunan halal negeri.
“MPIHNK diletakkan di bawah portfolio agama dan diurusetiakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), melibatkan keahlian daripada pelbagai agensi termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC), JAHEAIK, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Invest Kelantan, PKINK, ECERDC serta KIAS,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan diskaun fi pensijilan halal kategori kotej sebanyak 75 peratus, menjadikan bayaran hanya RM50 berbanding RM200 sebelum ini, yang telah memberi manfaat kepada 66 usahawan dengan implikasi kos sekitar RM10,000.
Menurutnya lagi, syarikat SR Rezeki Venture milik Noor Syahirah Roslam dari Kampung Paya Bemban, Kota Bharu menjadi penerima pertama sijil halal kategori kotej di negeri ini.
“Inisiatif lain termasuk penganjuran Program Dialog Pembangunan Halal Negeri Kelantan bagi merangka hala tuju strategik bersama pemegang taruh serta Seminar Pemantapan Pengurusan Halal bagi memastikan sistem jaminan dan integriti halal terus diperkukuh dalam kalangan pemain industri,” jelasnya.
Tambahnya, usaha turut dipertingkat ke arah akreditasi standard ISO/IEC 17065 sebagai langkah mencapai piawaian antarabangsa, dengan Pusat Halal KIAS dilantik sebagai perunding halal kepada syarikat S Tradition PTE. LTD dari Singapura serta dijemput ke Tokyo bagi mendapatkan input berkaitan pensijilan halal di Jepun.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Taman Industri Halal Pasir Mas (TPHM) yang dibangunkan di kawasan seluas 108 ekar turut merekodkan pelaburan komited sebanyak RM45 juta, sekali gus menjana lebih 200 peluang pekerjaan.
“Setakat ini, sebanyak 45 peratus lot industri telah terjual melibatkan sektor pembuatan dan perkhidmatan, manakala 23 peratus Kompleks Perniagaan Usahawan (EBC) telah disewakan kepada syarikat tempatan,” ujarnya.








