Latihan bersepadu BITU–IIM pertingkat profesionalisme penghulu
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 22 April — Kerajaan Negeri melalui Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan pelbagai kursus dan program taklimat kepada penghulu dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi meningkatkan kompetensi serta memperkukuh tahap profesionalisme dalam kalangan mereka.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, pelaksanaan latihan berterusan itu menjadi teras kepada usaha memperkasa integriti, kebertanggungjawaban dan kecekapan penghulu dalam mengurus komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor, YB Saizol Ismail pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, latihan berkala yang dilaksanakan merangkumi aspek pengurusan konflik, kepimpinan, penyampaian perkhidmatan awam, perundangan serta etika kerja bagi memastikan penghulu berupaya melaksanakan tugas secara lebih efektif dan berintegriti.
“Kerajaan Negeri juga melaksanakan sistem penilaian prestasi tahunan bagi menilai kecekapan pentadbiran, pengurusan aduan serta tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan penghulu,” katanya.
Dalam masa sama, pemantauan turut dijalankan secara berkala melalui laporan bulanan serta lawatan tapak oleh pejabat tanah dan jajahan bagi memastikan setiap penghulu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Tambahnya, pelaksanaan bengkel, kursus dan seminar turut diperluaskan melalui kerjasama pelbagai institusi termasuk Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dan Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK).
“Institusi seperti IPTG, ILDAN dan YTK bukan sahaja berfungsi sebagai pusat latihan, tetapi turut memikul tanggungjawab untuk memahamkan penghulu terhadap asas pentadbiran berteraskan Islam, khususnya konsep Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) serta pembinaan Komuniti Rabbani (K-Rabb),” jelasnya.
Menurutnya lagi, pendekatan tersebut penting bagi memastikan penghulu bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah menghayati tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat yang berintegriti dan berlandaskan nilai rohani.
“Kefahaman terhadap konsep UMI akan membentuk sikap kerja yang berteraskan pengabdian kepada Allah, rasa tanggungjawab yang tinggi serta komitmen terhadap kualiti kerja, manakala pendekatan K-Rabb pula menekankan pembinaan masyarakat yang seimbang dari sudut fizikal dan spiritual,” katanya.








