Kelantan sasar tanaman nanas cecah 140 hektar sebagai kluster ekonomi timur
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 22 April – Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan pembangunan tanaman nanas sebagai kluster ekonomi utama di wilayah timur, dengan keluasan tanaman baharu dijangka mencecah sehingga 140 hektar pada tahun 2026.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sasaran itu didorong oleh pelaksanaan strategi menyeluruh merangkumi rantaian nilai industri nanas daripada peringkat penanaman hingga pemprosesan dan pemasaran.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga YB Mohd Almidi Jaafar dalam Persidangan Kali Yang Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan ke-15, hari ini.
Menurutnya, antara pendekatan utama ialah memperkasakan konsep “Satu Kali Tanam, Tiga Kali Tuai” yang mampu memaksimumkan hasil tanaman nanas.
“Melalui konsep ini, bukan sahaja buah nanas dihasilkan, malah sulur (anak benih) dan sisa tanaman turut dimanfaatkan untuk menghasilkan produk bernilai tambah seperti makanan ternakan dan ikan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah meningkatkan nilai ekonomi keseluruhan industri. Sebuah kilang pemprosesan sisa nanas di Jeli juga telah siap dan hampir beroperasi,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar melalui pembangunan ladang nanas berskala besar dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran secara konsisten serta mewujudkan rangkaian pembekal industri, sekali gus membuka potensi Kelantan sebagai negeri pengeluar dan pengeksport nanas,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) terus diperkukuh bagi merancakkan industri hiliran berasaskan nanas dengan memperkasa usahawan tempatan.
“Antara produk yang dibangunkan termasuk bongkah cendawan dan makanan ruminan berasaskan sisa nanas, sekali gus memperluas peluang ekonomi dalam sektor agro,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mempergiatkan promosi, pembangunan usahawan serta penglibatan belia melalui program seperti Program Pembangunan Agropreneur Nanas (PPAN).
“Pendekatan ini mewujudkan rantaian ekonomi lengkap daripada penanaman hingga pemprosesan, di samping membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. kini dalam proses membangunkan pusat pemprosesan hasil nanas di Kelantan Biowelly, Pasir Puteh bagi menghasilkan produk hiliran seperti jus dan kordial.
“Dengan sokongan pelbagai bentuk bantuan termasuk geran, program agropreneur muda dan sistem penarafan pekebun, kerajaan negeri yakin sasaran menjadikan nanas sebagai kluster ekonomi wilayah timur mampu direalisasikan,” ujarnya.








