Accessibility Tools

Skip to main content

Program HER sokong kesihatan ibu hamil, cegah anemia pada trimester pertama

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 21 April — Program Pemakanan Wanita Sihat atau Healthy Eating Responsibility for Women (HER) diperkasa sebagai inisiatif utama Kerajaan Negeri Kelantan dalam menyokong kesihatan ibu hamil serta mencegah anemia melalui intervensi awal bermula pada trimester pertama kehamilan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan pencegahan secara sistematik itu penting memandangkan antara 20 hingga 30 peratus wanita hamil di negeri ini dikenal pasti mengalami masalah anemia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama, YB Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

“Perkhidmatan pencegahan anemia disediakan secara teratur, sistematik dan holistik kepada semua ibu hamil bermula seawal trimester pertama, iaitu dalam tempoh 12 minggu pertama kehamilan bagi memastikan pengesanan awal dapat dilakukan sebelum berlakunya komplikasi serius,” katanya.

Menurutnya, pemantauan tahap hemoglobin dilaksanakan secara berkala bermula daripada lawatan pertama kehamilan dengan sasaran memastikan paras hemoglobin melebihi 11 gram per desiliter.

Suplemen hematinik turut diberikan sepanjang tempoh kehamilan sebagai langkah pencegahan dan rawatan awal.

Mengulas lanjut, beliau berkata anemia berpunca daripada kekurangan zat besi, vitamin B12 dan asid folik yang sering dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak seimbang.

“Walaupun tiada data khusus di peringkat persekutuan, anggaran menunjukkan 20 hingga 30 peratus ibu mengandung mengalami anemia. Di kawasan pedalaman, khususnya dalam kalangan komuniti Orang Asli, kadar ini boleh mencecah antara 40 hingga 50 peratus disebabkan kekangan akses kepada makanan berkhasiat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Program HER dilaksanakan bagi memperkukuh pendidikan kesihatan wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun dengan memberi penekanan terhadap amalan pemakanan sihat sepanjang kitaran hidup.

“Inisiatif HER memberi fokus kepada pemerkasaan kendiri wanita serta sokongan komuniti dalam membudayakan amalan pemakanan sihat, termasuk meningkatkan pengambilan zat besi, vitamin B12 dan asid folik,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan program itu merangkumi penyebaran maklumat melalui pelbagai platform, termasuk seminar, bengkel, ceramah kesihatan dan pameran pemakanan, selain demonstrasi penyediaan makanan berkhasiat.

Di samping itu, perkhidmatan klinik bergerak turut diperluas ke kawasan pedalaman bagi memastikan akses kepada saringan kesihatan dan pendidikan pemakanan dapat dinikmati secara menyeluruh.

Pautan berjaya disalin!