Accessibility Tools

Skip to main content

Pendekatan menyeluruh tangani malnutrisi, bantut kanak-kanak

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 21 April — Pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pemakanan, kesedaran dan intervensi berstruktur amat penting bagi memastikan isu malnutrisi dan kebantutan kanak-kanak dapat ditangani secara berkesan dan berpanjangan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, masalah tersebut bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah merupakan cabaran nasional yang sedang diberi perhatian serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama YB Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

“Saya telah menghadiri Mesyuarat Exco-Exco Kesihatan bersama Timbalan Perdana Menteri, dan antara perkara yang dibentangkan ialah isu bantut dalam kalangan kanak-kanak di banyak negeri di Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Malaysia kini sedang merangka pendekatan lebih komprehensif termasuk cadangan pemberian makanan tambahan kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun, namun pelaksanaannya melibatkan implikasi peruntukan yang besar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha menangani masalah tersebut tidak boleh tertumpu kepada bantuan makanan semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan peningkatan kesedaran pemakanan dalam kalangan ibu bapa.

“Kita perlukan program khusus yang memberi fokus kepada kesedaran pemakanan sihat dalam kalangan ibu-ibu. Trend masa kini menunjukkan kecenderungan kepada makanan segera berbanding makanan masak sendiri yang lebih berkhasiat seperti sayur-sayuran dan hidangan seimbang,” jelasnya.

Tambahnya, perubahan gaya pemakanan moden yang bergantung kepada makanan terproses turut memberi kesan negatif kepada kesihatan kanak-kanak serta meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit pada masa hadapan.

Mengulas situasi di Kelantan, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah mengadakan libat urus bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bagi merangka intervensi bersasar termasuk cadangan bantuan makanan sihat kepada golongan berisiko, namun berdepan kekangan peruntukan.

“Di Kelantan, kita melaksanakan program Al-It’am yang membantu sekitar 300 keluarga bagi setiap DUN setiap bulan, melibatkan lebih kurang belasan ribu keluarga secara keseluruhan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama kerajaan persekutuan dapat diperkukuh dalam menyediakan bantuan makanan tambahan khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah.

Pautan berjaya disalin!