Kerjasama strategik luaskan pendedahan global belia Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 21 April — Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak terus diperkasa Kerajaan Negeri Kelantan bagi memberi pendedahan lebih luas kepada golongan belia, khususnya dalam aspek pembangunan ilmu, pengalaman industri serta jaringan antarabangsa.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata pendekatan tersebut merupakan komponen penting dalam perancangan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan kepimpinan belia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah pada Persidangan Kali Yang Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, kerjasama dengan industri, institusi pengajian tinggi serta rakan antarabangsa menjadi pemangkin utama dalam memperluas horizon pemikiran dan keupayaan belia negeri.
“Kerajaan negeri melihat kerjasama dengan industri, universiti dan rakan antarabangsa sebagai elemen penting untuk memperluas pendedahan global kepada belia Kelantan,” katanya.
Beliau menjelaskan, usaha tersebut dilaksanakan secara berstruktur melalui pembangunan ekosistem kepimpinan belia yang merangkumi program seperti Kelantan Future Leaders Camp, Bootcamp, Academy, Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia serta Felo Darulnaim.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan kurikulum masa depan melibatkan ekonomi digital, teknologi, data, inovasi dan keusahawanan moden bagi melahirkan generasi belia yang kompetitif.
Menurutnya lagi, pendekatan tersebut tidak hanya tertumpu kepada teori, sebaliknya menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui pelaksanaan Program Felo Darulnaim.
“Program ini akan memberi peluang kepada belia untuk merasai sendiri pengalaman dalam pentadbiran kerajaan serta memahami proses pembuatan dasar secara langsung,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan berasaskan data turut diperkasa bagi memastikan pembangunan bakat belia dapat dipantau secara sistematik dan berkesan.
Katanya, keseluruhan inisiatif tersebut digerakkan bagi memastikan kepimpinan belia Kelantan bukan sahaja kukuh di peringkat negeri, malah mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Keseluruhan pendekatan ini bertujuan memastikan pelapis kepimpinan belia Kelantan kekal relevan, berdaya saing serta berteraskan nilai Islam dalam mendepani cabaran era globalisasi,” ujarnya.








