Accessibility Tools

Skip to main content

Peruntukan pertanian Kelantan meningkat hasil kerjasama strategik KPKM

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 21 April — Peningkatan peruntukan sektor pertanian Kelantan yang memberangsangkan hasil kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri, sekali gus mempercepat usaha menjadikan Kelantan sebagai hab makanan utama negara.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peningkatan tersebut selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

“Alhamdulillah, jika dilihat pada pembentangan bajet tahun lepas bagi tahun ini, sememangnya terdapat peningkatan peruntukan yang memberangsangkan bagi sektor pertanian,” katanya.

Menurutnya, antara faktor utama peningkatan tersebut ialah kerjasama strategik berterusan dengan KPKM yang memperkasa pelaksanaan pelbagai projek pembangunan pertanian di negeri ini.

Katanya lagi, pada tahun lalu Kelantan menerima peruntukan melebihi RM9 juta daripada KPKM bagi pelaksanaan program dan inisiatif pertanian.

“Bagi tahun ini pula, kerajaan negeri telah menerima peruntukan fasa pertama melebihi RM4 juta, yang akan dimanfaatkan untuk meneruskan serta memperluaskan projek sedia ada,” jelasnya.

Selain itu, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM5.8 juta bagi pembangunan tanaman nanas di seluruh negeri.

Beliau berkata, peruntukan tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan tanah pertanian baharu serta meningkatkan produktiviti kawasan sedia ada, khususnya dalam industri nanas yang berpotensi tinggi.

“Inisiatif ini dijangka memperkukuh keupayaan sektor pertanian negeri, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!