Tujuh strategi transformasi pacu Kelantan ke arah hab makanan negara
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 21 April — Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan tujuh strategi transformasi pertanian secara menyeluruh meliputi pengoptimuman tanah, pemerkasaan teknologi moden serta pembangunan modal insan petani bagi memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab makanan utama negara.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pendekatan strategik tersebut dirangka bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan penggunaan tanah pertanian secara optimum.
Menurutnya, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Projek Pembangunan Tanah Terbiar Negeri yang menukar kawasan tidak diusahakan kepada tapak pertanian produktif.
“Melalui projek ini, sebanyak RM2.98 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, melibatkan seramai 270 petani dengan keluasan 264.46 hektar yang kini diusahakan secara aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah berhubung langkah transformasi sektor pertanian dalam Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkukuh pembangunan komoditi strategik serta tanaman bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan petani dan menjamin sekuriti makanan negeri.
Menurutnya lagi, komoditi asas seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan dan kelapa terus diperkasa, manakala tanaman bernilai tinggi termasuk durian klon, kelapa pandan serta projek fertigasi premium diperluaskan sebagai sumber ekonomi baharu.
Dalam usaha memodenkan sektor pertanian, penggunaan teknologi moden turut dipergiat melibatkan sistem fertigasi, rumah pelindung hujan (SPH), mekanisasi serta aplikasi teknologi pintar berasaskan Internet of Things (IoT) dan automasi.
Tambahnya, pemindahan teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada MARDI kepada komuniti petani dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan serta hasil pengeluaran.
Pada masa sama, pembangunan usahawan tani dan agroniaga muda diberi keutamaan melalui latihan, bimbingan serta sokongan kewangan termasuk Program Geran Agropreneur Muda (GAM).
“Bagi tempoh 2024 hingga 2025, seramai 15 usahawan muda telah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM399,780, di samping sasaran melahirkan sekurang-kurangnya lima usahawan tani Al-Falah di setiap DUN setiap tahun,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan pembangunan sektor pertanian negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya merangkumi pembangunan insan melalui dasar “Bertani Satu Ibadah” dan Gerakan Pertanian Al-Falah.
“Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembentukan nilai, disiplin, integriti serta pemikiran keusahawanan moden dalam kalangan petani,” ujarnya.
Dalam memperkukuh pelaksanaan dasar, kerajaan negeri turut memperkasa peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertanian seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad, Kelantan Biotech Corporation dan Darul Naim Agromanagement Industries Sdn Bhd sebagai pemacu projek berskala komersial dan inovasi.
Kerjasama strategik dengan agensi Persekutuan seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), KADA dan IADA turut dipergiat, dengan lebih 300 ekar tanah terbiar berjaya diusahakan melalui tanaman nanas.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kelantan mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pengeluaran hasil pertanian negara bagi tahun 2024, termasuk menduduki tempat pertama bagi beberapa komoditi seperti tembikai (64,827 metrik tan), manggis (8,849 mt), cili (17,415 mt), labu manis (20,041 mt), ubi keledek (27,907 mt), tebu kuning (4,444 mt) dan madu kelulut (297.60 mt).
“Usaha bersepadu ini diyakini mampu meletakkan Kelantan sebagai hab makanan utama negara yang berdaya maju, moden dan mampan,” katanya.








