Accessibility Tools

Skip to main content

Empat langkah strategik perkasa Mahkamah Syariah Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 21 April — Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan empat langkah strategik bagi memperkasakan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan, merangkumi aspek infrastruktur, teknologi, struktur kehakiman dan perjawatan, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem perundangan syariah di negeri ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata langkah pertama melibatkan penaiktarafan infrastruktur Mahkamah Syariah susulan pewartaan lima Mahkamah Tinggi Syariah jajahan baharu di Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Bachok dan Jeli.

Menurutnya, langkah kedua ialah pewujudan Mahkamah Teknologi yang membolehkan perbicaraan kes-kes Mal dijalankan secara jarak jauh bagi memudahkan pihak-pihak yang berdepan kekangan fizikal atau geografi. Mahkamah ini dirasmikan pada 8 April 2025.

“Langkah ini penting bagi memastikan akses kepada keadilan dapat diperluas tanpa mengira lokasi, selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Menurutnya, langkah ketiga melibatkan penubuhan Mahkamah Syariah empat peringkat melalui penaiktarafan daripada tiga kepada empat peringkat dengan pewujudan Mahkamah Utama Syariah sebagai peringkat tertinggi dalam sistem kehakiman syariah negeri yang kini pada fasa akhir kajian pelaksanaan.

Selain itu, langkah keempat ialah penambahbaikan perjawatan melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah serta Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan.

“Pemerkasaan perjawatan ini bertujuan memastikan kelancaran pengurusan kes serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang dalam Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Pautan berjaya disalin!