Accessibility Tools

Skip to main content

Bantuan bapa tunggal dipertimbang, sokongan sosial selepas kehilangan pasangan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 21 April — Kerajaan Negeri Kelantan mempertimbangkan pemberian bantuan kepada golongan bapa tunggal sebagai bentuk sokongan sosial kepada mereka yang terpaksa menguruskan anak-anak secara bersendirian selepas kehilangan pasangan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, walaupun tiada skim khusus seperti bantuan armalah disediakan ketika ini, permohonan daripada bapa tunggal tetap diterima dan dinilai berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Kerajaan amat memahami situasi kehilangan serta keperluan sokongan segera khususnya dari segi bantuan kewangan untuk mengurus anak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Mohamad berhubung Skim Bapa Tunggal pada Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri buat masa ini belum bersedia memperkenalkan skim khusus bagi bapa tunggal, namun setiap permohonan tetap dipertimbang secara adil selaras dengan pendekatan bantuan sedia ada.

“Sehingga tahun ini, bermula 2025, sebanyak 12 permohonan daripada bapa tunggal telah diterima dan kita akan cuba membantu setakat kemampuan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding permohonan skim armalah yang mencecah hampir 30,000 setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan negeri terus komited menyalurkan bantuan kebajikan dan ekonomi kepada semua golongan memerlukan tanpa mengira status, termasuk bapa tunggal, ibu tunggal serta keluarga miskin.

“Selagi memenuhi syarat yang ditetapkan, insya Allah bantuan akan diberikan kepada semua yang layak,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!