1,040 belia dilatih, KFLI perkasa pelapis kepimpinan masa depan Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 21 April — Sebanyak 1,040 belia berjaya dilatih bermula Januari 2025 hingga Mac 2026 menerusi Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasa pelapis kepimpinan masa depan yang berilmu, berakhlak dan berwawasan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud Yatimee pada Persidangan Kali Yang Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan ke-15 tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, KFLI merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri yang bertujuan melahirkan pemimpin belia yang bukan sahaja kompeten dari sudut ilmu pengetahuan, malah unggul dari segi akhlak serta mempunyai visi jelas dalam memartabatkan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Kerajaan negeri amat komited dalam pembangunan insan khususnya dalam kalangan belia, justeru pelaksanaan KFLI dirangka dengan pendekatan menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan program KFLI berpandukan strategi dan silibus kurikulum yang komprehensif dengan penekanan kepada tiga komponen utama iaitu pembangunan ilmu dan kepakaran, pembangunan akhlak dan nilai Islam serta pengukuhan visi pemimpin masa depan.
Dalam aspek pembangunan ilmu, pelbagai program seperti Kelantan Future Leaders Camp, Bootcamp, Academy serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia dilaksanakan mengikut peringkat umur dengan modul meliputi pembangunan intelektual, kemahiran kepimpinan, pengurusan projek dan pembangunan diri secara sistematik.
“Setiap program dirangka untuk melahirkan pemimpin yang berdaya saing, berfikiran kritis serta mampu membuat keputusan berasaskan data dan ilmu syariah,” ujarnya.
Bagi pembangunan akhlak, peserta didedahkan dengan modul tazkiyatun nafs, kepimpinan berintegriti serta penglibatan dalam khidmat masyarakat yang memberi pendedahan praktikal kepada nilai kepimpinan berteraskan Islam.
Sementara itu, komponen pengukuhan visi memberi fokus kepada keupayaan peserta merangka pelan tindakan peribadi dan komuniti selaras dengan agenda Kelantan Sejahtera 2033, sekali gus melahirkan belia yang memahami peranan mereka sebagai agen perubahan dalam masyarakat.
Mengulas lanjut, YB Zamakhshari memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 604 merupakan alumni aktif yang terdiri daripada 306 lelaki dan 298 perempuan, melibatkan penyertaan pelajar sekolah, mahasiswa serta lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negeri.
Tambahnya, semua peserta didaftarkan dalam sistem pangkalan data rasmi KFLI bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap impak program serta penilaian kompetensi secara sistematik.
“Kerajaan negeri juga sedang membangunkan Indeks Kompetensi Belia sebagai mekanisme berasaskan data untuk menilai tahap pencapaian, ilmu, akhlak dan kepimpinan peserta, sekali gus membantu mengenal pasti pelapis kepimpinan berpotensi tinggi,” jelasnya.
Beliau yakin pendekatan berstruktur melalui KFLI mampu merealisasikan hasrat melahirkan Kelantan Future Leader yang berintegriti dan berwawasan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara berteraskan konsep Al-Qawiyul Amin.








