Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan catat kutipan hasil tanah RM380 juta pada 2025

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 21 April - Kerajaan Negeri Kelantan berjaya merekodkan kutipan hasil tanah berjumlah RM380 juta bagi tahun 2025.

Kejayaan memberangsangkan itu adalah hasil usaha bersepadu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan (PTG) serta Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) seluruh Negeri Kelantan.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz, Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata kejayaan itu didorong oleh beberapa faktor utama termasuk pengukuhan tadbir urus serta pemantauan kutipan hasil yang lebih sistematik.

Menurutnya, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian telah memperkemaskan mekanisme pemantauan dengan menetapkan sasaran kutipan yang jelas kepada setiap pejabat tanah dan jajahan, selain melaksanakan pemantauan prestasi secara berkala.

“Selain itu, peningkatan kecekapan pentadbiran pejabat tanah turut memainkan peranan penting apabila proses permohonan berkaitan tanah seperti pemberimilikan, tukar syarat dan pecah sempadan diproses dengan lebih tersusun," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah berkaitan usaha meningkatkan kecekapan kutipan hasil tanah, di Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Kempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Tambahnya, pemerkasaan sistem pembayaran dan perkhidmatan digital juga menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan hasil apabila kemudahan pembayaran secara dalam talian serta pendigitalan sistem pentadbiran berjaya mempercepatkan proses perkhidmatan di samping meningkatkan ketelusan.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kelantan menegaskan, bagi memastikan prestasi itu dapat dikekalkan dan dipertingkatkan pada 2026, kerajaan negeri akan meneruskan beberapa langkah strategik termasuk menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas kepada setiap pejabat tanah dan jajahan.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan melalui pembangunan strategik dan kerjasama yang berpotensi menjana premium serta hasil berkaitan tanah.

Langkah lain termasuk meningkatkan kesedaran dan pematuhan pembayar cukai melalui pelbagai saluran komunikasi, memperkukuh kapasiti sumber manusia melalui latihan berterusan serta mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan mengelakkan ketirisan hasil negeri.

Mengulas cadangan memperkenalkan sistem peringatan digital berjadual kepada pembayar cukai, Menteri Besar Kelantan berkata kerajaan negeri sentiasa komited menambah baik kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat agar lebih mudah, cepat dan mesra pengguna.

Beliau juga menjelaskan, pengurusan kutipan cukai tanah di negeri ini dilaksanakan berasaskan peruntukan Kanun Tanah Negara yang tidak mewajibkan pentadbir tanah mengemukakan peringatan kepada pemilik tanah.

“Walaupun begitu, notis peringatan secara bersasar dan hebahan umum melalui pelbagai saluran termasuk portal rasmi dan media sosial sentiasa dilaksanakan bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan pembayaran cukai tanah,” katanya ketika menjab soalan tambahan.

Beliau turut menggalakkan pemilik tanah supaya membuat bayaran lebih awal dan mengamalkan sikap proaktif serta berdisiplin bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dan penalti.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus meneliti ruang penambahbaikan dari semasa ke semasa agar sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa selari dengan keperluan semasa.

Pautan berjaya disalin!