Accessibility Tools

Skip to main content

Integriti penjawat awam jadi keutamaan, Kelantan laksana lima strategi utama

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 21 April — Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan aspek integriti penjawat awam sebagai keutamaan dengan melaksanakan lima strategi utama bagi memastikan tadbir urus pentadbiran sentiasa telus, berakauntabiliti dan bebas daripada salah guna kuasa.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan pada Persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan ke-15, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri komited memastikan nilai integriti terus diperkukuh dalam kalangan penjawat awam melalui pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pentadbiran, pencegahan serta pembudayaan nilai murni.

“Strategi pertama adalah pengukuhan tadbir urus yang baik dengan menekankan pematuhan kepada kod etika perkhidmatan awam serta penerapan nilai berteraskan agama iaitu ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan (UMI),” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas serta pemantauan melalui audit dalaman turut dilaksanakan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Tambahnya, strategi kedua melibatkan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di peringkat jabatan dan agensi negeri bagi mengenal pasti risiko rasuah, selain melaksanakan langkah pencegahan serta pemantauan berkala.

“Kerajaan negeri juga memperkukuh kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui program pendidikan integriti, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), khidmat nasihat serta audit integriti bagi menambah baik sistem pentadbiran,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan latihan, pendidikan dan pembudayaan integriti turut diberi penekanan melalui penganjuran kursus, seminar serta program latihan kepimpinan kepada penjawat awam.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperkasa mekanisme aduan dan perlindungan pemberi maklumat termasuk melalui penyediaan platform aduan dalam talian, Sistem e-Integra yang dikendalikan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM).

Katanya, perlindungan kepada pemberi maklumat dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta polisi pemberi maklumat (whistleblower).

Menjawab soalan tambahan, Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa tidak semua jabatan diwajibkan menyediakan laporan audit integriti, namun terdapat dua pelaporan utama yang perlu dikemukakan setiap tahun melalui Bahagian Integriti dan Tadbir Urus kepada SPRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Selain itu, audit integriti bukan sahaja dilaksanakan secara dalaman, malah turut melibatkan audit luaran yang diperincikan melalui pengurusan antirasuah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, khidmat nasihat SPRM serta audit bebas,” katanya.

Pautan berjaya disalin!