Tahfiz al-Furqan MAIK lahirkan dua hafiz sulung
Oleh: Asri Hamat
MACHANG, 21 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus mencipta pencapaian membanggakan apabila Sekolah Tahfiz al-Quran al-Furqan seliaannya berjaya melahirkan dua hafiz sulung.
Sekolah tahfiz berkenaan yang dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra pada Mei 2024 mula melaksanakan programnya pada Disember 2023.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan tersebut membuktikan matlamat penubuhan institusi berkenaan untuk melahirkan golongan hafiz dalam kalangan prospek atau dikenali sebagai mujahid telah berjaya direalisasikan.
Menurutnya, dua pelajar terbabit berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh singkat sekali gus membantu mereka memulihkan diri sebelum kembali menyumbang kepada masyarakat.
“Saya amat berbangga dan bersyukur dengan kejayaan ini. Lebih membanggakan, salah seorang daripada mujahid tersebut turut terpilih sebagai penerima insentif Huffaz al-Quran MAIK bagi tahun 2026."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Perdana Hafazan al-Quran Sekolah Tahfiz al-Quran al-Furqan di Dewan Dato’ Mustafa Osman, Pusat Pemulihan Akhlak Machang, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Program Intensif Huffaz MAIK menyediakan insentif sebanyak RM7,200 setahun atau RM600 sebulan kepada setiap penerima.
“Sebagai ganjaran, mereka akan diberi peranan mengetuai program murajaah hafazan al-Quran di masjid-masjid terpilih di seluruh Kelantan,” jelasnya.
Menurutnya, bagi mujahid yang menerima insentif turut berperanan membantu mengajar prospek lain dalam pembelajaran serta hafazan al-Quran khususnya di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.
Beliau menegaskan, pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan pelajar sekali gus menunjukkan keberkesanan sistem pembelajaran al-Quran yang dilaksanakan.
“Dengan pendekatan yang betul, bimbingan berterusan dan keikhlasan semua pihak, kejayaan cemerlang mampu dicapai,” katanya.
Dalam sidang media, Tengku Mohamad Rizam berkata, program sekolah tahfiz al-Quran hasil kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bermula sejak 2023 dan kini berjalan lancar.
Katanya, model program di Machang itu juga berpotensi diperluaskan ke pusat pemulihan akhlak di negeri lain.
Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara TKJP Zaidi Hamid berkata, sebanyak 207 pelajar tahfiz kini mengikuti program tersebut di 14 penjara seluruh negara di bawah seliaan majlis agama Islam negeri masing-masing.
“Setiap negeri mempunyai sekolah tahfiz di penjara bagi memberi peluang kepada prospek melanjutkan pengajian dalam bidang hafazan al-Quran,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang mujahid yang berjaya menghafaz 30 juzuk Muhamad Abdullah (bukan nama sebenar), 38, berkata beliau mengambil masa satu tahun lapan bulan dan 14 hari untuk menamatkan hafazan.
“Kejayaan ini menggembirakan dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.
Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Sahibul Samahah YB Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan Dato' Ibrahim Deris, Pengelola Istana Kelantan YB Brigedier Jeneral Dato' Perwira Raja Dato' Nik Shafriman Nik Hassan, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Biji Sura Dato' Abdul Kadir dan Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato' Mohd Anis Husin.


















