Accessibility Tools

Skip to main content

Gastronomi halal, bersih dan mesra perkukuh daya tarik pelancongan Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 20 April — Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra menegaskan kepentingan aspek halal, kebersihan, harga berpatutan serta layanan mesra dalam sektor gastronomi sebagai teras memperkasa identiti hospitaliti negeri dan menarik kehadiran pelancong.

Baginda bertitah, elemen tersebut perlu diberi perhatian serius oleh semua penyedia makanan memandangkan gastronomi merupakan antara tarikan utama pelancongan Kelantan.

“Sebagai sebuah negeri yang turut menampilkan keunikan gastronomi sebagai tarikan utama pelancongan khususnya dalam konteks pengurusan makanan, beta menggesa pihak yang terlibat termasuk penyedia makanan perlu memastikan makanan yang dijual adalah halal, bersih dan dijual pada harga berpatutan.

“Penyedia makanan juga seharusnya memberikan layanan yang mesra sebagai salah satu identiti hospitaliti di negeri Kelantan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas 2026 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda menegaskan sektor pelancongan kekal sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri, dengan Kelantan memiliki kelebihan tersendiri dari segi keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta tradisi unik.

Sehubungan itu, baginda menyeru kerajaan negeri agar terus mempergiat usaha menaik taraf kemudahan pelancongan dan memperluas promosi, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Baginda turut menekankan kepentingan bekalan makanan sebagai komponen kritikal dalam industri pelancongan dengan menyarankan sektor pertanian diperkasakan secara strategik bagi menjamin bekalan mencukupi dan berkualiti.

Selain itu, baginda menyarankan sistem pendidikan negeri diperkukuh secara holistik merangkumi pendidikan arus perdana, agama dan kemahiran bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berkemahiran.

“Hal ini penting bagi melahirkan modal insan berkualiti yang kukuh pegangan rohani dan nilai akhlaknya, sekali gus menyumbang kepada kemajuan serta kesejahteraan negeri Kelantan,” titah baginda.

Pautan berjaya disalin!