Pemangku Raja Kelantan sambut baik usaha persekutuan-kerajaan negeri pacu pembangunan Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 20 April — Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra menzahirkan sokongan terhadap usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara, di samping menyifatkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri sebagai faktor penting kejayaan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kelantan.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas 2026 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, baginda merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas komitmen dan kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.
“Beta berasa sukacita atas pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang telah siap dinaik taraf sepenuhnya.
“Beta juga menzahirkan harapan agar kerjasama antara persekutuan dan negeri diteruskan, termasuk pelaksanaan projek Kota Bharu Sentral (KB Sentral) melalui integrasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai hab transit moden yang bakal menjadi pemangkin ekonomi setempat,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menegaskan keperluan penambahbaikan infrastruktur negeri agar tidak ketinggalan berbanding negeri lain.
“Beta melihat keadaan infrastruktur di negeri Kelantan masih perlu dipertingkatkan. Oleh itu, beta amat berharap kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap perancangan dan pelaksanaan pembangunan infrastruktur dengan penglibatan langsung Kerajaan Persekutuan.
“Pembangunan infrastruktur yang menyeluruh ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak perancangan pembangunan pada masa hadapan,” titah baginda lagi.








