Tadbir urus cekap, berintegriti dan telus teras pentadbiran – Pemangku Raja Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 20 April — Tadbir urus yang cekap, berintegriti dan telus perlu dijadikan teras utama dalam setiap urusan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjamin kepercayaan rakyat serta kelangsungan pembangunan mampan, titah Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurut baginda, kekuatan sesebuah negeri bermula daripada kecekapan sistem pentadbirannya, justeru penjawat awam perlu memberi penekanan serius terhadap aspek tadbir urus yang berkualiti.
“Beta ingin menegaskan bahawa kepentingan tadbir urus yang cekap, berintegriti dan telus hendaklah sentiasa menjadi teras dalam setiap urusan rasmi kerajaan,” titah baginda.
Baginda turut menyeru penjawat awam agar terus mempertingkat integriti, meningkatkan produktiviti serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
Menurut baginda, usaha tersebut penting bagi memelihara keyakinan rakyat dan pelabur terhadap pentadbiran negeri, di samping memastikan sistem pentadbiran kekal bebas daripada sebarang isu rasuah dan pelanggaran integriti.
Dalam pada itu, baginda menekankan kepentingan memperkasa pemahaman serta penghayatan konsep ubudiah, masuliah dan itqan (UMI) dalam kalangan penjawat awam agar nilai berkenaan dapat diterapkan secara menyeluruh dalam pelaksanaan tugas.
Selain itu, baginda mengingatkan agar setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan mematuhi dokumen perancangan yang telah diluluskan bagi memastikan pelaksanaan berjalan secara sistematik dan mampan.
“Pematuhan ini amat penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan mampan,” titah baginda lagi.
Dalam perkembangan sama, baginda menyarankan kerajaan negeri terus memperkasa sektor ekonomi berimpak tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Kelantan.
Baginda turut menyifatkan pembangunan Tok Bali Industrial Park sebagai hab perindustrian baharu yang berpotensi menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, pemprosesan makanan, logistik serta industri marin.
Sehubungan itu, baginda menegaskan peluang yang terhasil daripada pembangunan kawasan industri berkenaan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan rakyat demi kemakmuran negeri.








