Accessibility Tools

Skip to main content

642 penghulu dilantik sebagai pembanci ternakan ruminan di Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 19 April - Sebanyak 642 penghulu di seluruh Kelantan dilantik sebagai pembanci bagi melaksanakan pendaftaran ternakan ruminan dalam usaha mengumpul data menyeluruh sektor penternakan negeri itu.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pengumpulan data lengkap meliputi populasi ternakan, lokasi ladang, status penternak serta amalan pengurusan ternakan amat penting untuk membantu kerajaan merancang pembangunan sektor berkenaan.

Katanya, data yang komprehensif akan memudahkan usaha menjadikan Kelantan sebagai negeri mesra penternakan dan pertanian, selain mengukuhkan peranan negeri itu sebagai jelapang makanan negara.

“Saya berharap dengan kerjasama semua penghulu dan kepakaran mereka, dalam tempoh tiga bulan bermula April hingga Jun ini, data pendaftaran ternakan ruminan dapat disiapkan.

“Kita mahu melihat jajahan dan mukim mana yang mempunyai bilangan penternak tertinggi. Malah, penghulu yang berjaya menyenaraikan sehingga 200 penternak akan diberikan ganjaran khas,"

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan 2026 bagi jajahan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Mas di Dewan Gelanggang Seni, di sini, hari ini.

Menurutnya, data berkenaan juga penting bagi memastikan pembangunan sektor penternakan berjalan lancar, termasuk memudahkan proses vaksinasi ternakan seperti lembu dan kerbau.

“Selain itu, data ini memudahkan untuk mendapatkan peruntukan kerajaan kerana jumlah sebenar populasi ternakan dapat dikenal pasti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi bantuan Sejahtera Tani, khususnya pemberian tiga guni dedak kepada penternak yang memelihara sekurang-kurangnya lima ekor ternakan ruminan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan Yahasmida Yaacob berkata bancian berkenaan penting bagi memastikan data jabatan adalah tepat, terkini dan berintegriti.

Katanya, data sedia ada ketika ini masih bersifat anggaran dan tidak cukup terperinci untuk menyokong perancangan strategik pembangunan industri ternakan.

“Bancian yang dilaksanakan dari April hingga Jun 2026 ini bertujuan mengumpul maklumat menyeluruh termasuk populasi ternakan, lokasi ladang, status penternak serta amalan pengurusan.

“Langkah ini penting bukan sahaja untuk perancangan pembangunan, malah menyokong kawalan penyakit haiwan, penyaluran bantuan bersasar serta pelaksanaan Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan 2024 dengan lebih berkesan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Dr. Siti Noorbainun Othman, Ketua Seksyen Perancang dan Perkhidmatan Sokongan Dr. Khairun Anisa Mat Yazid dan Ketua Seksyen Epidemiologi dan Kawalan Penyakit Dr. Ainin Syakirah Rosli.

Pautan berjaya disalin!