Kutipan zakat MAIK tahun 2025 cecah RM354.6 juta, tertinggi dalam sejarah
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 19 April — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah apabila mencecah RM354.6 juta bagi tahun 2025, meningkat 19 peratus berbanding RM296.8 juta pada tahun sebelumnya.
Yang Dipertua MAIK YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan tersebut mencerminkan pertumbuhan positif kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat, selain disokong prestasi ekonomi yang memberangsangkan.
“Segmen terbesar kutipan zakat ini adalah daripada zakat pendapatan iaitu RM229.2 juta. Diikuti zakat perniagaan berjumlah RM62.1 juta, zakat wang simpanan RM25.4 juta, zakat harta RM14.5 juta serta lain-lain zakat termasuk zakat fitrah, emas dan perak, saham, ternakan, qada serta pertanian yang keseluruhannya berjumlah RM23.2 juta.
“Peningkatan terbesar direkodkan melalui zakat pendapatan dengan kenaikan sebanyak 24 peratus atau RM43.8 juta berbanding RM185.3 juta pada 2024,” katanya pada sidang media Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara sekitar 5.5 peratus pada 2025 turut memberi kesan langsung kepada peningkatan kutipan zakat di negeri ini.
Menurutnya, peningkatan pendapatan rakyat menyumbang kepada pertambahan bilangan pembayar zakat termasuk 27,944 pembayar baharu, dengan 17,643 daripadanya terdiri daripada golongan belia berusia antara 20 hingga 39 tahun.
“Peningkatan kutipan zakat pada tahun 2025 yang merupakan tertinggi dalam sejarah MAIK adalah hasil gabungan kekuatan ekonomi, pengurusan yang cekap, tadbir urus berkesan, program promosi serta kesedaran agama dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
Sementara itu, beliau juga mengumumkan, agihan zakat MAIK bagi tahun 2025 mencatatkan peningkatan ketara kepada RM337.3 juta berbanding RM269.5 juta pada 2024, iaitu pertambahan sebanyak 25 peratus.
Menurutnya, agihan tersebut meliputi RM162.3 juta kepada asnaf fisabilillah, RM117.4 juta bagi asnaf fakir dan miskin, RM50.1 juta kepada asnaf amil, al-gharimin, al-riqab dan ibnu sabil, manakala RM7.6 juta diperuntukkan kepada asnaf mualaf.
Beliau menegaskan peningkatan kutipan dan agihan zakat itu memperkukuh peranan MAIK dalam memastikan kesejahteraan asnaf terus terpelihara serta manfaat zakat dapat disalurkan secara menyeluruh dan berimpak tinggi kepada masyarakat.










