300 peserta sertai Raya Run Bukit Peraksi 2026
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media PKD Semerak
PASIR PUTEH, 18 April — Larian bertemakan Aidilfitri "Raya Run Bukit Peraksi 2026" berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memeriahkan suasana sambutan Syawal melalui aktiviti riadah berkonsepkan komuniti dan gaya hidup sihat.
Program anjuran Kelab Belia Semerak itu menjadikannya antara acara larian santai berkonsepkan rekreasi dan cabaran fizikal yang unik di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Semerak YB Nor Sham Sulaiman berkata, program tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim sempena sambutan Aidilfitri.
“Saya turut sama menghadiri program Larian Raya (Raya Run) yang dianjurkan oleh Kelab Belia Semerak (KELAS).
"Program bermula pukul 7 pagi di Padang Awam Bukit Peraksi dan berakhir pukul 11 pagi di puncak Bukit Peraksi yang berketinggian 150 meter,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, semalam.
Menurutnya, penganjuran kali ini menerima sambutan amat menggalakkan dengan lebih 300 peserta terdiri daripada pelbagai kaum, peringkat umur dan latar belakang yang bersama-sama memeriahkan program tersebut.
Acara itu mempertandingkan beberapa kategori termasuk remaja lelaki dan perempuan berumur 12 hingga 19 tahun, kategori terbuka lelaki dan wanita, serta kategori veteran lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas.
Menariknya, penganjur turut memperkenalkan kategori khas pakaian raya yang memberi kelainan kepada edisi tahun ini, sekali gus menambahkan warna dan keceriaan suasana Aidilfitri di sepanjang laluan larian.
Tambahnya, penyertaan peserta pelbagai kaum turut mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat, apabila mereka bersama-sama menyertai aktiviti riadah tanpa mengira latar belakang.











