22 peniaga etok Tasek Pauh terima bantuan kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 19 April — Sebanyak 22 peniaga etok dari Kampung Tasek Pauh dan Kampung Tualang Tinggi, Pasir Puteh menerima Bantuan Usahawan Etok daripada Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha memperkasa dan mengembangkan perniagaan mikro di kawasan berkenaan.
Majlis penyerahan bantuan itu telah disempurnakan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di perkarangan Masjid Taman Al-Barakah, Selising, Khamis lepas.
Beliau berkata, bantuan yang disalurkan itu melibatkan usahawan yang telah membuat permohonan dan disahkan layak, meskipun proses kelulusan mengambil masa kira-kira lima bulan.
"Inisiatif ini dapat membantu meringankan beban penerima serta memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka lebih lancar," jelasnya menerusi laman sosial pada Jumaat.
Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan usahawan terlibat.
“Kita berharap bantuan yang diberikan ini digunakan dengan sebaiknya untuk memajukan perniagaan masing-masing,” katanya.
Menurutnya lagi, Kampung Tasek Pauh sememangnya mempunyai keunikan tersendiri dengan aktiviti industri kecil seperti industri etok dan industri tapai yang menjadi identiti ekonomi penduduk setempat.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk peralatan perniagaan seperti periuk, peti sejuk beku (freezer), talam dan khemah bagi menyokong keperluan operasi harian usahawan.










