Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin


LTSIP bukti kerjasama baik persekutuan- negeri perkukuh infrastruktur Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 19 April – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) disifatkan sebagai contoh terbaik sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur serta merancakkan ekonomi negeri.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, kejayaan projek itu membuktikan kerjasama erat antara kedua-dua pihak mampu menghasilkan impak besar kepada rakyat dan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka serta komited mengangkat permohonan projek menerusi Rancangan Malaysia (RMK) berdasarkan keutamaan yang memberi manfaat kepada pemangkin ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Kerajaan negeri akan terus mengemukakan cadangan projek yang berimpak tinggi demi memastikan pembangunan Kelantan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.

Tambahnya, selepas projek naik taraf itu siap sepenuhnya termasuk pemanjangan landasan, LTSIP dijangka membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan, khususnya dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan.

“Dengan kemudahan yang lebih moden dan kapasiti yang dipertingkatkan, LTSIP berpotensi menarik lebih ramai pelancong serta merangsang aktiviti ekonomi setempat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kontraktor, konsultan serta pihak berkepentingan lain.

“Segala usaha dan komitmen yang dicurahkan telah menatijahkan sebuah lapangan terbang yang bukan sahaja moden, malah menampilkan identiti budaya serta seni bina Kelantan,” katanya.

Untuk rekod, projek naik taraf LTSIP dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan pembesaran terminal serta pemanjangan landasan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan penerbangan.

Inisiatif berkenaan juga merupakan usaha naik taraf terbesar sejak lapangan terbang itu mula dibangunkan, sejajar dengan peranan strategiknya dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelancongan setempat.

Sebelum ini, lapangan terbang berkenaan hanya mampu menampung kira-kira 1.5 juta penumpang setahun. Dengan pelaksanaan projek naik taraf secara komprehensif, kapasiti itu kini meningkat kepada empat juta penumpang setahun.

Selain itu, kemudahan yang dipertingkatkan turut membolehkan lapangan terbang berkenaan mengendalikan penerbangan antarabangsa, termasuk laluan ke Jakarta yang dijadual memulakan operasi pada Jun ini.

Pautan berjaya disalin!