Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan sambut baik pengumuman RM20 juta program basmi kemiskinan

Oleh: Asri Hamat

KOTA KOTA DARULNAIM, 19 April – Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik pengumuman peruntukan berjumlah RM20 juta bagi pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di negeri itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja rasmi beliau ke Kelantan, semalam.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri amat menghargai komitmen kerajaan persekutuan dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan kesejahteraan mereka terus terpelihara.

Menurutnya, projek pembasmian kemiskinan itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Negeri Kelantan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih teratur dan berkesan.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menunaikan hak rakyat secara saksama amat penting bagi membangunkan negara serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja membaik pulih prasarana Sekolah Menengah Ugama (SMU-A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Bachok yang terjejas akibat kebakaran, baru-baru ini.

Peruntukan juga diberi bagi membantuan institusi pendidikan Islam di Kelantan, termasuk tujuh buah pondok di jajahan Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas.

Pengumuman berkenaan dibuat ketika lawatan Perdana Menteri ke Majlis Ramah Mesra dan Lawatan di Masjid Gong Chapa, Pasir Puteh yang sebelum ini turut menerima peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Dato' Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan amat mengalu-alukan peruntukan tersebut demi kelangsungan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Atas peruntukan yang diumumkan, saya merakamkan penghargaan dan Kelantan amat mengalu-alukannya demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pautan berjaya disalin!