Siti Sofiyyah, Abdul Karim harumkan nama Kelantan dalam hafazan peringkat kebangsaan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco dan JAKIM
KOTA DARULNAIM, 19 April — Dua peserta Kelantan, Siti Sofiyyah Mohd Zainuri dan Abdul Karim Mohd Azra’hi mengharumkan nama negeri apabila masing-masing muncul johan dan naib johan dalam kategori hafazan juz 1 hingga 10 Al-Quran dan mujawwad sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Terengganu.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan negeri dalam melahirkan generasi hafiz yang berkualiti serta berdaya saing di peringkat kebangsaan.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kedua-dua peserta atas kejayaan ini. Ia bukan sahaja membanggakan Kelantan, malah menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus mendekati dan menghayati Al-Quran,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, semalam.
Menurutnya, kejayaan itu juga mencerminkan hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh pendidikan Al-Quran serta melahirkan modal insan berteraskan nilai Islam.
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini menyaksikan Terengganu sebagai tuan rumah dengan mempertandingkan lapan kategori, melibatkan enam kategori hafazan dan dua kategori tilawah.
Bagi kategori tilawah, johan lelaki dimenangi oleh qari dari Perak manakala johan perempuan disandang oleh qariah dari Sarawak.
Dalam pada itu, Selangor diumumkan sebagai johan keseluruhan bagi edisi kali ini.
Majlis penutupan dan pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu KDYMM Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiq Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, pada Sabtu.
YB Mohd Asri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas penganjuran majlis tersebut yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh syiar Islam serta memartabatkan seni bacaan Al-Quran di negara ini.














