Teluk Kerengga berpotensi tarik pelancong, penggemar rekreasi lasak
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR MAS, 18 April — Teluk Kerengga dikenal pasti berpotensi menjadi destinasi tumpuan pelancong serta penggemar rekreasi lasak susulan penganjuran Kejohanan Sukan Permotoran 4x4 LiteCore Challenge 2026 yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negeri, sekali gus mengangkat profil kawasan itu dalam segmen pelancongan sukan.
Majlis penutup kejohanan anjuran Grup Permotoran Sahabat Setia Rimba itu disempurnakan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor di litar sukan lasak Teluk Kerengga, Tendong, semalam.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri, khususnya dalam mengembangkan segmen pelancongan sukan dan rekreasi lasak.
“Program seperti ini bukan sahaja menghimpunkan komuniti permotoran, bahkan membuka ruang kepada promosi pelancongan negeri secara lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.
Menurutnya, penyertaan peserta dari Perlis, Kedah, Pahang dan Terengganu membuktikan acara tersebut mempunyai daya tarikan tersendiri serta berpotensi menjadi platform penyatuan komuniti 4x4 di peringkat nasional.
“Dengan potensi lokasi seperti Teluk Kerengga, Kelantan berupaya muncul sebagai destinasi pilihan bagi peminat sukan 4x4, sekali gus merancakkan ekonomi setempat melalui kehadiran pelancong dan penggiat industri,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan kemudahan termasuk trek 4x4 yang lebih sistematik akan terus dipertingkat bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan berasaskan aktiviti lasak di negeri ini.
“Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mempelbagaikan produk pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi yang unik dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau juga menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan berasaskan sukan di kawasan luar bandar, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
















