Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud


LTSIP: Gerbang utama akses strategik pelawat dan pelabur

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 18 April — Projek menaik taraf Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) mengangkat kedudukannya sebagai gerbang utama Kelantan, sekali gus memperluas akses strategik kepada pelawat, pelabur serta arus pembangunan nasional.

Projek berimpak tinggi hasil kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu menjadi pemacu utama pengukuhan sektor pengangkutan udara serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP yang disempurnakan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Anjung Tinjau, Aras Mezzanine, di sini, hari ini.

Menurut Menteri Besar Kelantan, pelaksanaan projek itu mengangkat peranan LTSIP sebagai pintu masuk utama negeri, sekali gus memperluas keterhubungan strategik Kelantan dalam jaringan pembangunan nasional.

“LTSIP kini bukan sahaja sebuah lapangan terbang, tetapi telah menjadi pintu masuk utama yang menghubungkan Kelantan dengan arus pembangunan negara serta peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa pembangunan tersebut turut menjadikan LTSIP sebagai hab hubungan udara serantau yang lebih moden, efisien dan berdaya saing, seterusnya mengembangkan jaringan penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Dengan naik taraf ini, LTSIP kini berfungsi sebagai hab hubungan udara yang lebih moden dan kompetitif, yang membuka ruang kepada jaringan penerbangan yang lebih luas termasuk ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Tambahnya, kapasiti lapangan terbang yang meningkat daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun memberi impak langsung kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Peningkatan kapasiti ini pastinya memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, dengan lebih ramai pelawat dijangka datang ke Kelantan,” katanya.

Menurutnya lagi, peningkatan keupayaan tersebut turut merancakkan sektor perdagangan dan memperluas peluang ekonomi kepada rakyat.

“Ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan perdagangan negeri, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat di pelbagai peringkat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan LTSIP dijangka kembali mengendalikan penerbangan antarabangsa termasuk laluan ke Jakarta bermula Jun ini.

“Insya Allah, pembukaan semula laluan antarabangsa ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menegaskan, perkembangan itu memperteguh peranan LTSIP sebagai pemangkin kepada mobiliti rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih inklusif.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa Kelantan semakin kukuh sebagai hab hubungan udara yang penting di rantau ini,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudeen Al-Haj Tengku Feissal, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Pengerusi Malaysia Airports Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Pautan berjaya disalin!