Gangguan bekalan RON95, diesel: Kelantan gesa agihan adil, pelan kontingensi diperkukuh
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 18 April – Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius notis yang dikeluarkan oleh Caltex Malaysia berhubung kemungkinan gangguan bekalan petrol RON95 dan diesel di beberapa negeri termasuk Kelantan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, walaupun gangguan itu dikaitkan dengan kelewatan urusan di pelabuhan, situasi berkenaan tetap menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat, khususnya di negeri Pantai Timur.
Menurut YB Hilmi, negeri-negeri di Pantai Timur sekali lagi dilihat berdepan risiko kekurangan bekalan berbanding negeri di Pantai Barat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan agihan.
“Bekalan bahan api merupakan keperluan asas yang kritikal, bukan sahaja kepada pengguna harian malah memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan, sektor logistik, perkhidmatan kesihatan serta kehidupan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan di laman sosial, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang gangguan bekalan berulang tanpa perancangan mitigasi yang jelas tidak boleh dipandang ringan.
Justeru, beliau menggesa pihak Caltex mengambil beberapa langkah segera bagi menangani isu berkenaan, termasuk memastikan pengagihan bekalan dilakukan secara adil antara negeri tanpa ketidakseimbangan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
Pihak Caltex juga diminta untuk menyediakan pelan kontingensi lebih berkesan seperti mendapatkan pembekal alternatif, menggunakan depot lain atau laluan logistik berbeza bagi menjamin kesinambungan bekalan.
“Ketelusan maklumat juga perlu dipertingkatkan dengan menyediakan kemas kini berkala kepada orang awam dan pihak berkuasa negeri mengenai situasi semasa bekalan minyak,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama rapat antara syarikat pembekal dan agensi kerajaan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada kawasan kritikal sekiranya berlaku kekurangan stok.
Dalam masa sama, kerajaan Persekutuan diseru agar memantau situasi itu secara lebih proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat di semua negeri sentiasa terpelihara.
“Rakyat Kelantan dan negeri-negeri terlibat berhak mendapat layanan sama dari segi akses kepada bekalan asas. Isu ini perlu ditangani dengan segera, berkesan dan adil tanpa menjejaskan mana-mana kawasan,” ujarnya.










