Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat


YIK lahirkan 5,720 huffaz, bukti kejayaan pendidikan tahfiz Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 16 April — Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz setakat ini, sekali gus membuktikan kejayaan berterusan sistem pendidikan tahfiz di Kelantan dalam membina generasi al-Quran yang berkualiti.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pencapaian tersebut menjadi indikator kejayaan negeri dalam melahirkan generasi yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup serta asas kepimpinan masa depan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tahfiz YIK Kali Ke-16 yang berlangsung di Dewan Besar YIK, di sini, hari ini.

Menurutnya, majlis graduasi tersebut meraikan sebanyak 350 pelajar Tingkatan 5 sebagai graduan Khatam Hafazan.

“Pada masa sama, sebanyak 82 graduan turut menerima pengiktirafan Syahadah dan Sanad merangkumi 61 orang bagi Syahadah 10 juzuk, 10 orang (20 juzuk), empat orang (30 juzuk) serta tujuh orang bagi Sanad bacaan,” jelasnya.

Tambahnya, secara keseluruhan sebanyak 432 graduan diraikan pada tahun ini, mencerminkan kejayaan besar institusi pendidikan Islam di bawah YIK dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mantap dari segi sahsiah dan pegangan agama.

Dato' Wan Roslan menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa meletakkan pendidikan Islam sebagai teras utama pembangunan insan dengan memberi penekanan kepada penghayatan al-Quran secara menyeluruh.

“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya menghafaz, tetapi generasi yang memahami, menghayati dan menterjemahkan al-Quran dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam membuat keputusan dan memimpin masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Anugerah Khas Menteri Besar Kelantan turut disampaikan kepada pelajar yang berjaya menyempurnakan Syahadah 30 juzuk dengan masa bacaan hanya 18 jam tanpa kesalahan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan luar biasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan warga pendidik YIK atas sokongan serta komitmen berterusan dalam menjayakan agenda pendidikan tahfiz negeri.

Menurutnya lagi, majlis graduasi itu memberi mesej jelas bahawa Kelantan komited untuk terus memperkasa pendidikan al-Quran sebagai agenda utama negeri.

“Cita-cita kita adalah untuk melihat lebih ramai anak Kelantan muncul sebagai hafiz, ilmuwan dan pemimpin umat yang berpaksikan wahyu,” ujarnya.

Beliau turut berpesan agar para graduan terus memelihara hafazan dengan penuh disiplin dan istiqamah serta menjadi contoh teladan dalam masyarakat berlandaskan akhlak Islam.

Pautan berjaya disalin!