Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud


Gagasan “Satu Rumah Satu Hafiz”, landasan tepat bentuk Kelantan Sejahtera -MB Kelantan

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media Exco YB Dato Ustaz Wan Roslan

KOTA BHARU, 16 April — Matlamat “Satu Rumah Satu Hafiz al-Quran” yang digagaskan Kerajaan Negeri Kelantan kini berada pada landasan tepat dalam membentuk Kelantan sebagai negeri sejahtera berteraskan Islam, sekali gus memperkukuh pembangunan insan berasaskan al-Quran.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian tersebut dizahirkan melalui Majlis Graduasi Tahfiz Kali Ke-16 Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi tahun 2025 yang menyaksikan sebanyak 432 hafiz dan hafizah diraikan di Dewan YIK, di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan melahirkan huffaz perlu dilihat dalam kerangka jangka panjang sebagai usaha berterusan membentuk masyarakat yang menghayati ajaran Islam dalam kehidupan.

“Setiap hafiz dan hafizah perlu menyedari besarnya tanggungjawab yang dipikul, bukan sahaja menjaga hafazan, bahkan membimbing masyarakat agar memahami serta menjadikan kehidupan berpandukan kehendak Allah SWT,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun, ayat 115 yang bermaksud:
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Mengulas lanjut, katanya, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dihafaz, sebaliknya berperanan sebagai kitab hidayah yang memandu kehidupan manusia.

“Fungsi al-Quran yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW tidak hanya untuk dibaca dan dihafaz tetapi sebuah kitab hidayah yang memandu kehidupan manusia. Allah SWT menciptakan manusia ada tujuannya dan bukan suatu penciptaan yang sia-sia,” jelasnya.

Tambahnya, kelebihan yang dimiliki golongan huffaz perlu dimanfaatkan bagi memimpin masyarakat dengan panduan wahyu.

“Kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak huffaz, yang bukan sahaja mempunyai bacaan yang baik, bahkan menghafaz ayat-ayat Allah, sewajarnya meletakkan mereka di saf hadapan dalam memimpin ummah.

“Sudah tiba masanya para penghafaz al-Quran yang dilengkapi dengan pelbagai kepakaran hasil daripada gabungan sistem pendidikan kita seperti tahfiz qiraat, tahfiz sains dan seumpamanya tampil ke hadapan, memimpin harapan ummah dengan roh dan panduan al-Quran,” katanya.

Tambahnya, majlis graduasi tersebut adalah manifestasi komitmen berterusan kerajaan negeri melalui YIK dalam memperkasa pendidikan tahfiz sebagai teras pembinaan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya kepimpinan.

"Inisiatif ini dijangka terus memperluas usaha melahirkan lebih ramai huffaz profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan ummah secara menyeluruh," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!