Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


100 peserta KAPOK Kok Lanas tanam buah, jana pendapatan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 30 April — Sebanyak 100 peserta komuniti setempat di DUN Kok Lanas menyertai Program Apo Kobar Pok Tani Agro Alfalah (KAPOK) yang memfokuskan tanaman buah-buahan sebagai sumber makanan dan penjana pendapatan, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti berasaskan pertanian.

Program anjuran dengan kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) itu menjadi platform meningkatkan kesedaran serta kemahiran peserta dalam pengurusan tanaman secara sistematik dan berimpak tinggi.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pertanian komuniti.

“Program ini memberi penekanan kepada pembangunan tanaman buah sebagai sumber makanan mampan di samping membuka peluang penjanaan pendapatan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan media pasca program, semalam.

Menurutnya, program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Jabatan Pertanian Kelantan yang memberi pendedahan berkaitan teknik penjagaan tanaman pokok nangka madu.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan peserta memahami kaedah penjagaan tanaman secara sistematik sekali gus meningkatkan hasil dan kualiti pengeluaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan benih pokok serta baja organik kepada peserta sebagai usaha menyokong aktiviti pertanian di peringkat komuniti.

Menurutnya, inisiatif tersebut berupaya menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil pertanian dan pendapatan peserta, di samping menggalakkan penglibatan lebih meluas masyarakat dalam sektor agromakanan.

“Kerajaan negeri akan terus memperluas pelaksanaan program seumpama ini bagi memastikan sektor pertanian kekal sebagai penyumbang penting kepada kesejahteraan ekonomi rakyat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!

Baca Yang Lain