Libat urus pelbagai pihak tambah nilai perancangan digital Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 April — Penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dalam Bengkel Sesi Libat Urus Cadangan Penubuhan Perbadanan Digital Negeri Kelantan memberi nilai tambah signifikan kepada perancangan strategik pembangunan digital negeri, sekali gus memperkukuh hala tuju pendigitalan yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Demikian kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat pada majlis makan malam sempena bengkel tersebut yang berlangsung di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Beliau menzahirkan penghargaan atas kehadiran Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kelantan Dato’ Azi Rahimee Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation Berhad Dato’ Ir. Ts. Sudarnoto Osman dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof serta semua undangan.
Menurutnya, kehadiran barisan pemimpin, pakar industri dan pemegang taruh strategik memberi impak besar dalam menjayakan sesi libat urus berkenaan.
“Kehadiran para tetamu kehormat dan pemegang taruh ini amat bermakna dalam menjayakan sesi libat urus yang penting ke arah memperkukuh agenda pendigitalan negeri.
“Semoga pertemuan ini menjadi medan yang bermanfaat untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan merangka langkah terbaik dalam usaha merealisasikan penubuhan Perbadanan Digital Negeri demi pembangunan negeri yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Sesi libat urus tersebut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri serta pakar teknologi bagi membincangkan cadangan penubuhan entiti khusus yang akan memacu transformasi digital negeri secara lebih bersepadu.
Beliau menyifatkan pendekatan kolaboratif itu dilihat mampu memperkaya input dasar serta memastikan setiap perancangan yang dirangka bersifat inklusif, praktikal dan memenuhi keperluan semasa.
"Inisiatif penubuhan Perbadanan Digital Negeri Kelantan dijangka menjadi pemangkin utama dalam mempercepat agenda pendigitalan, seterusnya meningkatkan kecekapan tadbir urus serta merangsang pertumbuhan ekonomi berteraskan teknologi di negeri ini," jelasnya.










