Pasukan STEM MSTG hargai sokongan Exco Pertanian bantu komersialkan produk
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 16 April — Pasukan STEM Maahad Sains Tok Guru (MSTG) menzahirkan penghargaan kepada Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail atas sokongan yang diberikan dalam membantu komersialkan produk inovasi mereka, TnC Acne Serum.
Guru Penasihat pasukan tersebut Dr Siti Noorhaniah Yusoh berkata, sumbangan dana sebanyak RM7,000 yang disalurkan amat signifikan dalam mempercepatkan usaha pasukan berkenaan ke arah pengkomersialan produk.
Replika cek tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud sempena Majlis Satu Dekad MSTG di pekarangan sekolah berkenaan, pada Selasa.
Menurutnya lagi, dana itu dimanfaatkan bagi tujuan pendaftaran syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain mempercepatkan proses mendapatkan kilang yang sesuai untuk pengeluaran produk serta melengkapkan keperluan pendaftaran dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dengan adanya sokongan ini, kami dapat mempercepatkan penghasilan produk dan membawa inovasi pelajar MSTG ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kami juga dalam usaha mencari rakan industri dan kilang yang bersesuaian bagi memastikan produk ini dapat dihasilkan mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Beliau juga memaklumkan bahawa idea pembangunan serum berkenaan tercetus daripada keperluan pelajar sekolah tersebut yang majoritinya terdiri daripada pelajar lelaki, yang kurang memberi perhatian terhadap penjagaan kulit wajah khususnya masalah jerawat.
Jelasnya, pada peringkat awal, produk itu dibangunkan menggunakan bahan berasaskan tumbuhan iaitu limau purut, tomato dan aloe vera sebelum diperkaya dengan minyak kelapa dara bagi meningkatkan keberkesanannya.
Tambahnya, pihaknya turut mendapatkan konsultasi daripada Fakulti Farmasi Universiti Malaya serta beberapa pihak industri bagi menambah baik formulasi dan kestabilan produk.
Untuk rekod, Pasukan STEM MSTG yang ditubuhkan pada tahun 2021 telah membangunkan formula khas bagi mengatasi masalah jerawat dalam kalangan remaja, sebelum menghasilkan TnC Acne Serum yang melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama tiga tahun.
Produk tersebut merupakan cetusan idea lima pelajar MSTG untuk menyertai pertandingan Mini Teater STEM anjuran Persatuan STEM Kebangsaan dan kemudiannya berkembang menjadi inovasi yang berpotensi dikomersialkan.
Sepanjang penglibatan dalam pelbagai pertandingan, TnC Acne Serum berjaya meraih Anugerah Emas kategori Asian Youth Innovation Awards di Malaysia Technology Expo 2024, selain turut memenangi Anugerah Emas di Karnival STEM Kebangsaan dan Festival of Idea Universiti Malaysia Kelantan.
Pada tahun 2025, alumni pasukan STEM MSTG telah mendaftarkan syarikat TG Global di bawah SSM sebagai langkah awal mengkomersialkan produk inovasi berkenaan.










