Accessibility Tools

Skip to main content

SANTUN 2026 laman temu masyarakat serumpun

  • 24 October 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 25

KOTA BHARU, 24 Oktober — Simposium Antarabangsa Penggunaan dan Kelangsungan Bahasa Melayu Nusantara (SANTUN 2026) menjadi laman pertemuan masyarakat serumpun bagi memperluas jaringan persahabatan, kerjasama keilmuan dan pertukaran budaya antara wilayah Nusantara melalui penghayatan bahasa Melayu sebagai warisan peradaban bersama.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penganjuran simposium antarabangsa itu menyediakan medan wacana antarabangsa dan membuka ruang kepada peserta untuk saling mengenali, berkongsi pengalaman dan membina hubungan yang berpanjangan.

Menurutnya, kepelbagaian dialek, sebutan dan latar budaya dalam kalangan masyarakat Nusantara bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan khazanah bahasa dan warisan serumpun.

“Dalam konteks inilah saya melihat SANTUN 2026 sebagai sebuah laman pertemuan. Di sini kita bukan sahaja bertemu untuk berbicara tentang bahasa, tetapi untuk mengenali antara satu sama lain, berkongsi pengalaman dan memperluas persahabatan serumpun.

“Kita mahu Kelantan bukan sekadar menjadi tempat berlangsungnya simposium, tetapi menjadi ruang yang meninggalkan kenangan, pengalaman dan hubungan yang berpanjangan kepada para tetamu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud merasmikan SANTUN 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.

Wacana antarabangsa anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKN) dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Pertubuhan Peradaban Melayu serta pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan itu menghimpunkan delegasi dari negara serantau termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand, Laos dan Filipina serta Malaysia selaku tuan rumah.

Mengulas lanjut, Datuk Kamarudin berkata, pemilihan nama SANTUN membawa pengertian yang lebih luas daripada kesopanan berbahasa kerana turut mencerminkan nilai kemanusiaan, penghormatan terhadap perbezaan dan keupayaan membina persefahaman.

Menurutnya lagi, nilai kesantunan perlu terus dipelihara dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas supaya kemajuan masyarakat tidak meminggirkan adab, kebijaksanaan dan semangat persaudaraan.

“Saya berharap SANTUN 2026 dapat menjadi jambatan yang menghubungkan para peserta bukan sahaja melalui wacana, tetapi juga melalui jaringan kerjasama, persahabatan dan saling memahami antara wilayah-wilayah Nusantara,” katanya.

Beliau turut berharap hubungan yang terbina sepanjang simposium itu dapat diterjemahkan kepada kerjasama berterusan dalam bidang penyelidikan, penerbitan, kesenian dan pendidikan.

Di samping itu, Datuk Kamarudin memaklumkan, Kelantan mempunyai keistimewaan tersendiri dalam mempertahankan kelangsungan bahasa dan warisan budaya kerana sebahagian besar khazanah tersebut masih hidup dalam amalan seharian masyarakat.

Jelasnya, warisan berkenaan bukan hanya tersimpan dalam bangunan atau arkib, sebaliknya diwariskan melalui pertuturan, cerita rakyat, pantun, peribahasa, seni persembahan, tradisi keilmuan dan pelbagai bentuk kearifan tempatan.

“Loghat Kelantan, misalnya, merupakan sebahagian daripada warna kehidupan masyarakat negeri ini. Di dalamnya ada kelucuan, keakraban, ketegasan, kelembutan dan pengalaman hidup yang terbentuk sepanjang zaman,” katanya.

Tambahnya, bahasa merupakan wahana penting dalam memahami sejarah, pemikiran dan jati diri sesebuah masyarakat, manakala seni serta warisan tempatan akan terus bermakna apabila generasi baharu memahami bahasa yang mendukungnya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menghargai penganjuran SANTUN 2026 yang menghubungkan bidang bahasa dengan seni, kebudayaan dan warisan sebagai pendekatan menyeluruh dalam memastikan khazanah peradaban Melayu terus dipelihara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, rakan strategik, institusi pendidikan, universiti, badan bahasa dan budaya, ilmuwan, sasterawan serta budayawan yang menjayakan simposium berkenaan.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan delegasi antarabangsa untuk mengenali keunikan kehidupan masyarakat Kelantan melalui makanan tradisional, kesenian, kebudayaan dan warisan tempatan sepanjang berada di negeri ini.

Datuk Kamarudin berharap SANTUN 2026 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pertemuan dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memperluas pengaruh bahasa Melayu serta memperteguh hubungan masyarakat serumpun.

“Pertemuan hari ini mudah-mudahan melahirkan pertemuan baharu. Perbincangan hari ini mudah-mudahan melahirkan kerjasama baharu.

“Dan persahabatan hari ini mudah-mudahan menjadi jambatan yang terus menghubungkan kita sebagai masyarakat serumpun,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!