Accessibility Tools

Skip to main content

AKSB tegaskan pemotongan air ikut prosedur

  • 22 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 24

KOTA  BHARU, 22 Oktober - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Korporat semalam menegaskan pemotongan perkhidmatan bekalan air di premis adalah mengikut prosedur.

Kenyataan tersebut sekali gus menafikan dakwaan seorang pengguna di media sosial berkaitan sistem permohonan bekalan air, proses pemotongan bekalan yang didakwa tidak mengikut prosedur serta isu kualiti air di premisnya.

Kenyataan tersebut juga menyatakan pengguna (pendakwa) atau wakilnya hadir ke pejabat AKSB Jajahan Tanah Merah pada 18 Oktober 2026 bagi menjelaskan bil tertunggak selama 14 bulan sejak Mei 2025 serta deposit yang telah ditarik balik.

"Bayaran terakhir yang direkodkan bagi akaun berkenaan adalah pada 12 Mei 2025," kata pihak AKSB.

AKSB memaklumkan pemotongan bekalan air dan penarikan balik deposit di premis terbabit dilakukan pada 26 Julai 2026.

Menurut kenyataan itu, semua rekod bil tertunggak tersedia dalam sistem dan pihaknya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum melaksanakan pemotongan bekalan air di mana-mana premis pengguna.

Jelas AKSB lagi, bagi pendaftaran semula akaun yang telah dipotong selepas deposit ditarik balik di mana pengguna perlu mengemukakan beberapa dokumen, termasuk borang permohonan yang lengkap diisi, salinan geran tanah, salinan kad pengenalan pemohon dan gambar premis yang ingin didaftarkan.

AKSB berkata, keperluan berkenaan telah dimaklumkan kepada pengguna (pendakwa) pada 19 Oktober lalu, manakala lawatan tapak ke premis turut dilakukan oleh pihak AKSB Jajahan Tanah Merah pada hari sama.

"Walau bagaimanapun, pengguna masih belum mengemukakan dokumen bagi permohonan menyambung semula bekalan air sehingga kenyataan media dikeluarkan," ujar pihak AKSB.

Berhubung dakwaan rekod panggilan aduan, AKSB memaklumkan pihaknya telah membuat semakan terperinci terhadap nombor telefon pengadu dalam sistem PINTAS Careline 15777, namun tiada rekod panggilan aduan berkaitan bekalan dan kualiti air sebelum ini ditemukan.

Bagi menyiasat isu kualiti air yang dibangkitkan, AKSB turut melakukan lawatan ke lokasi aduan pada 21 Oktober 2026 dan mendapati tiada isu berkaitan bekalan air serta kualiti air di kawasan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, AKSB menasihatkan pengguna supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan sebarang aduan melalui PINTAS Careline 15777 bagi membolehkan setiap aduan ditangani dengan segera.

Pautan berjaya disalin!