Manusia tanggung akibat jika alam sekitar terus dicemari -YB Hilmi
-
21 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
36
KOTA BHARU, 21 Oktober – Manusia akhirnya terpaksa menanggung akibat pencemaran sungai, kemusnahan hutan, pencemaran udara dan pembuangan sampah tidak terkawal sekiranya tanggungjawab memelihara kelestarian alam sekitar terus diabaikan.
Demikian kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah rentetan kerosakan alam sekitar yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem malah memberi kesan langsung terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan hidup manusia.
Menurutnya, manusia diamanahkan oleh Allah SWT untuk memelihara keseimbangan alam dan menguruskan sumber semula jadi secara bertanggungjawab demi kelangsungan kehidupan generasi kini serta akan datang.
“Apabila sungai dicemari, hutan dimusnahkan, udara dipenuhi asap dan sampah dibuang sesuka hati, akhirnya manusia sendiri akan menanggung akibatnya.
“Kita tidak boleh mengharapkan bumi untuk terus memberikan kehidupan yang baik jika kita sendiri gagal menjaganya,” katanya menerusi laman media sosial, semalam.
Beliau berkata demikian susulan perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Negeri Kelantan anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan di AEON Mall, Lembah Sireh, di sini, Isnin lalu.
YB Hilmi juga menegaskan usaha menangani pencemaran alam sekitar memerlukan perubahan sikap dan budaya masyarakat secara menyeluruh kerana keberkesanan penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai tanpa kesedaran serta tanggungjawab individu.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk institusi keluarga, sekolah, masjid, surau, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), premis perniagaan dan komuniti setempat supaya memainkan peranan aktif dalam membudayakan penjagaan kebersihan persekitaran.
Menurutnya lagi, pengurusan sisa secara bertanggungjawab perlu dijadikan amalan harian menerusi pendekatan 3R, iaitu mengurangkan penggunaan (reduce), menggunakan semula (reuse) dan mengitar semula (recycle) bagi mengurangkan jumlah sisa yang dibuang.
Tambahnya , pembudayaan amalan tersebut boleh dimulakan melalui pendidikan di rumah dengan membimbing anak-anak supaya tidak membuang sampah merata-rata, memperluas aktiviti kitar semula di sekolah serta mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam sektor perniagaan.
Beliau berharap penglibatan semua pihak bagi memastikan usaha pemeliharaan alam sekitar tidak terhad kepada kempen kesedaran bermusim sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan berterusan dalam kehidupan seharian.
“Kita bukan sekadar mewarisi bumi daripada generasi terdahulu, bahkan kita memikul amanah untuk menyerahkannya dalam keadaan yang lebih baik kepada generasi akan datang,” ujarnya.












