Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-UM bincang peluang, laluan pelajar lepasan YIK

  • 21 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 33

KOTA DARULNAIM, 21 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan dan Universiti Malaya (UM) mengadakan perbincangan bagi meneroka peluang serta laluan kemasukan pelajar lepasan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) ke institusi pengajian tinggi berkenaan, khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Perbincangan itu berlangsung menerusi kunjungan Dekan Akademi Pengajian Islam UM, Profesor Dr Mohd Fauzi Hamat kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat di pejabatnya di Mabna, semalam.

Dato' Wan Roslan berkata, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pendidikan tinggi serta mengenal pasti peluang yang boleh dimanfaatkan oleh lepasan YIK untuk melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan.

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan negeri, YIK dan UM berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang bersesuaian dengan kelayakan serta latar belakang pendidikan mereka.

“Kita menyambut baik perbincangan ini sebagai salah satu usaha memperluas akses pendidikan tinggi serta memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak Kelantan untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi yang berprestij,” katanya menerusi media sosial selepas pertemuan berkenaan.

Beliau berkata, perbincangan itu juga menjadi langkah awal ke arah mempererat hubungan strategik antara institusi pendidikan negeri dengan UM dalam usaha menyediakan kesinambungan pendidikan kepada lepasan sekolah YIK.

Tambahnya, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi penting bagi memastikan potensi akademik pelajar dapat terus dikembangkan, khususnya dalam melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan ilmuwan dalam bidang pengajian Islam.

Beliau berharap pertemuan berkenaan menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih erat antara Kerajaan Negeri Kelantan, YIK dan UM dalam memajukan pembangunan pendidikan negeri.

“Kerjasama berkenaan diharap dapat menyumbang kepada usaha melahirkan generasi berilmu dan berakhlak yang berupaya memberi sumbangan kepada agama, masyarakat dan negeri,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad serta Pengarah YIK Dato’ Shamsul Abu Bakar.

Pautan berjaya disalin!