LRA Kelar II dijangka selesai masalah air di Tumpat
-
21 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Izani
-
41
KOTA DARULNAIM, 21 Oktober - Masalah gangguan bekalan air bersih di kawasan kritikal di jajahan Tumpat, khususnya Cabang Empat Tok Mek Ngah dan sekitar Bendang Pak Yong, dijangka bertambah baik apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kelar II mula menyalurkan bekalan seawal Januari 2027.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan YB Dato' Dr Izani Husin berkata, projek LRA Kelar II dijangka siap pada hujung tahun ini, manakala penyerahan loji berkenaan dijadualkan pada Mac 2027.
Katanya, ketika ini bekalan air ke Tumpat bergantung kepada LRA Wakaf Bharu yang mempunyai kapasiti 16.37 juta liter sehari (JLH) dan LRA Kelar II dengan kapasiti 23.45 JLH.
"Bekalan sedia ada masih tidak mencukupi kira-kira 10 juta liter sehari bagi memenuhi keperluan pengguna di Cabang Empat Tok Mek Ngah dan kawasan sekitarnya. Kita mempunyai empat tangki yang tidak dapat dipenuhi disebabkan kuantiti air yang tidak mencukupi.
“Alhamdulillah, dengan siapnya LRA Kelar II, air boleh disalurkan seawal Januari 2027, manakala penyerahan loji dijadualkan pada Mac 2027,” katanya di media sosial pada Isnin.
Menurutnya lagi, perkembangan projek LRA Kelar II ketika ini berjalan mengikut jadual.
Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah paip lama dan uzur yang menghubungkan LRA Wakaf Bharu dengan tangki bekalan air di Tumpat turut menjadi antara punca gangguan bekalan.
Tambahnya, tekanan air tidak dapat ditingkatkan kerana tindakan itu boleh menyebabkan paip pecah, sekali gus memaksa pihak berkaitan mengawal tekanan air sehingga bekalan kepada pengguna menjadi tidak mencukupi.
Sehubungan dengan itu katanya, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat pinjaman bank berjumlah RM40 juta bagi mempercepatkan kerja-kerja penggantian paip di jajaran dari LRA Wakaf Bharu ke tangki yang membekalkan air bersih ke kawasan Tumpat.
Beliau berharap penyiapan LRA Kelar II dapat membantu mengatasi masalah gangguan bekalan air di Cabang Empat Tok Mek Ngah dan sekitar Bendang Pak Yong, selain membolehkan penggunaan LRA Wakaf Bharu dimaksimumkan.
Terdahulu, Dato' Dr. Izani bersama pasukannya mengadakan lawatan ke AKSB Jajahan Tumpat pada Isnin bagi meneliti masalah bekalan air dan mencari penyelesaian untuk meningkatkan mutu perkhidmatan air terawat kepada penduduk.
Dalam lawatan itu, isu air berbau yang dilaporkan di beberapa kawasan, khususnya di kepulauan Tumpat, turut dibangkitkan dan perkara berkenaan sedang dalam proses tindakan penyahbau bagi memastikan bekalan air yang disalurkan kepada pengguna mempunyai kualiti lebih baik.














