PKD cerminan wakil rakyat, mutu perkhidmatan penentu keyakinan masyarakat – MB Kelantan
-
20 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
32
KOTA DARULNAIM, 20 Oktober – Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (PKD) perlu terus diperkasakan sebagai institusi perkhidmatan yang mesra rakyat, cekap dan responsif terhadap keperluan masyarakat kerana mutu pengurusannya turut mencerminkan keberkesanan peranan wakil rakyat serta pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, setiap PKD perlu memastikan urusan rakyat diberikan perhatian sewajarnya melalui sistem pengurusan yang teratur, penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan pendekatan yang mudah didekati masyarakat.
Menurutnya, pengenalan Standard Pengurusan dan Pentadbiran PKD pada tahun 2024 merupakan antara langkah kerajaan negeri untuk meningkatkan kecekapan pengurusan serta memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Setiap PKD hendaklah menjadi tempat yang mudah didekati, mesra rakyat dan responsif. Sebagaimana yang pernah saya tegaskan, PKD ialah cerminan kepada wakil rakyat. Mutu perkhidmatannya turut membentuk keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Sambutan Membangun Bersama Islam Kali Ke-36 di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Dato’ Mohd Nassuruddin berkata, pelaksanaan standard pengurusan tersebut bertujuan memastikan setiap PKD mempunyai panduan kerja yang lebih sistematik bagi mempertingkat kecekapan pentadbiran serta memenuhi keperluan rakyat secara berkesan.
Katanya, usaha berkenaan turut diberikan pengiktirafan menerusi Anugerah Pusat Khidmat DUN Terbaik yang diterima oleh PKD Temangan, PKD Pasir Pekan, PKD Pantai Irama, PKD Meranti dan PKD Kelaboran sempena sambutan tersebut.
"Penganugerahan tersebut amat bermakna kerana sejak Standard Pengurusan dan Pentadbiran PKD diperkenalkan pada tahun 2024, saya menaruh harapan agar inisiatif ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan, memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap urusan rakyat diberikan perhatian dengan sebaik-baiknya," jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga PKD atas kesungguhan menterjemahkan garis panduan pengurusan kepada amalan kerja yang lebih teratur, cekap dan berkesan.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut memperlihatkan kepentingan usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.
Beliau berharap usaha memperkukuh pengurusan PKD dapat diteruskan secara konsisten bagi memastikan aspirasi MBI kekal relevan dan memberikan manfaat kepada rakyat selepas 36 tahun pelaksanaannya.













