Kelantan mahu jadikan inovasi sumber ekonomi baharu negeri
-
20 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
31
KOTA DARULNAIM, 20 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan mahu memperluas peranan inovasi daripada sekadar kempen kesedaran kepada pemacu pertumbuhan ekonomi negeri melalui penerokaan idea kreatif, pembangunan teknologi dan penghasilan produk bernilai komersial.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad berkata, sudah tiba masanya inovasi diterjemahkan kepada kegiatan ekonomi yang mampu membuka peluang kepada pereka bentuk, pencipta dan pengusaha tempatan.
Menurutnya, inovasi tidak seharusnya terbatas kepada bidang sains dan teknologi semata-mata kerana setiap portfolio pentadbiran kerajaan mempunyai ruang untuk meneroka pendekatan baharu yang lebih cekap, produktif dan berdaya saing.
"Selama ini, inovasi lebih bersifat kempen. Sudah sampai masanya kita menjadikan inovasi sebagai sumber ekonomi negeri.
"Pereka bentuk tempatan perlu diberikan peluang untuk meneroka idea dan mencetuskan inovasi yang berpotensi dikembangkan kepada kegiatan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana 36 Tahun Membangun Bersama Islam bertajuk Kelangsungan Membangun Bersama Islam dan Kesiapsiagaan Mendepani Masa Hadapan di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, di sini, hari ini.
Diskusi intelektual itu turut menampilkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dengan Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Dato' Dr. Wan Nik Wan Yusoff bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, YB Kamaruzaman berkata, kerajaan negeri turut memberikan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur digital melalui perancangan Pelan Digital Kelantan yang merangkumi pembangunan industri dan prasarana digital.
Katanya lagi, pelan berkenaan sedang diusahakan untuk mendapatkan kelulusan termasuk perancangan berkaitan pelan tindakan pertanian negeri bagi memperkukuh ekosistem pembangunan berasaskan teknologi.
Beliau turut menyentuh cadangan memberikan keutamaan peruntukan belanjawan kepada inisiatif yang berpotensi meningkatkan keupayaan inovasi dan pembangunan ekonomi negeri.
Dalam perkembangan pendidikan, beliau berkata, Kelantan mempunyai identiti tersendiri dalam pembangunan pendidikan Islam menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menjadi antara institusi penting dalam melahirkan modal insan berteraskan ilmu dan nilai Islam.
"Kelantan mempunyai tanda dagang tersendiri dalam pendidikan Islam melalui YIK. Program pendidikan yang kita laksanakan turut menjadi rujukan dan dicontohi pihak lain," jelasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut merancang usaha menaik taraf Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kepada universiti penuh pada tahun hadapan.
Selain itu, potensi penggunaan bangunan milik kerajaan negeri dan bangunan YIK sebagai tapak penjanaan tenaga solar turut diberikan perhatian sebagai sebahagian daripada penerokaan teknologi hijau.








