Accessibility Tools

Skip to main content

Empat elemen al-Quran tunjang kelangsungan 36 tahun MBI - MB Kelantan

  • 20 October 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 31

KOTA DARULNAIM, 20 Oktober – Empat elemen utama yang digariskan dalam Surah Ali Imran ayat 200 - bersabar, memperkukuh kesabaran, bersiap siaga (ribat) dan bertakwa kepada Allah SWT menjadi pegangan penting dalam memastikan kelangsungan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang kini memasuki tahun ke-36 pelaksanaannya di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, keempat-empat elemen tersebut merupakan tuntutan kerohanian, bahkan menjadi landasan membina keteguhan kepimpinan, memperkukuh pentadbiran dan menghadapi cabaran pembangunan negeri.

Menurutnya, perintah bersabar yang disebut dua kali dalam ayat berkenaan membawa pengertian bahawa umat Islam bukan sahaja dituntut bersabar ketika melaksanakan ketaatan dan menghadapi kesukaran, malah perlu memperkukuh ketabahan apabila berdepan tentangan serta cabaran perjuangan.

"Empat elemen yang terkandung dalam ayat al-Quran yang saya bacakan pada awal ucapan tadi, iaitu bersabar, saling memperkuat kesabaran, bersiap siaga (ribat) dan bertakwa, merupakan perintah agung daripada Allah SWT yang wajib dijadikan pegangan oleh setiap mukmin dalam melaksanakan perintah dakwah dan jihad untuk meninggikan kalimah Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Sambutan Membangun Bersama Islam Kali Ke-36 di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato’ Mohd Nassuruddin berkata, keteguhan menghadapi cabaran merupakan antara nilai perjuangan yang diwariskan oleh generasi kepimpinan terdahulu sehingga membolehkan dasar MBI terus dipertahankan sepanjang hampir empat dekad.

Katanya, pengalaman tersebut membuktikan bahawa kekuasaan dalam Islam bukan suatu keistimewaan untuk dibanggakan sebaliknya amanah besar yang menuntut keikhlasan, kesabaran dan tanggungjawab dalam melaksanakan pentadbiran berteraskan syariat.

Beliau turut mengimbau pesanan Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengumpamakan perjalanan perjuangan seperti merentas padang rumput tanpa perlu berhenti setiap kali kemuncup melekat pada pakaian.

Beliau menyifatkan perumpamaan itu memperlihatkan kepentingan keteguhan pendirian dan tumpuan terhadap matlamat meskipun berhadapan pelbagai rintangan.

Menyentuh elemen ketiga, iaitu ribat (kesiapsiagaan) beliau menjelaskan bahawa seluruh jentera kerajaan dan lantikan politik perlu sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan agenda memartabatkan syariat Islam diteruskan.

Beliau turut merujuk pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, khidmat kepada masyarakat dan usaha menghilangkan kemudaratan boleh termasuk dalam pengertian ribat kerana membawa kemaslahatan umum kepada umat Islam.

Sehubungan dengan itu, beliau menekankan kesungguhan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat perlu dilihat sebagai sebahagian daripada amanah yang mempunyai nilai ibadah apabila dilaksanakan dengan niat dan kaedah yang betul.

Sementara itu, elemen keempat, ketakwaan perlu menjadi asas yang mengimbangi segala usaha pembangunan fizikal, pengukuhan ekonomi dan kemajuan pentadbiran negeri.

Dato’ Mohd Nassuruddin mengingatkan penjawat awam serta seluruh lantikan politik supaya tidak mengabaikan hubungan dengan Allah SWT walaupun sibuk menguruskan pelbagai tanggungjawab pentadbiran dan kebajikan rakyat.

"Dalam kesibukan menguruskan hal ehwal rakyat, janganlah sesekali kita mengabaikan atau mengurangkan tanggungjawab kepada Allah SWT. Ketakwaan kepada Allah hendaklah sentiasa diperkukuh kerana di situlah terletaknya intipati Membangun Bersama Islam," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu penghayatan dasar MBI diperluas kepada seluruh lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada warga pentadbiran serta penggerak lantikan politik.

Menurutnya, pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan, Budaya Komuniti Rabbani dan program Mukim Rabbani merupakan antara pendekatan kerajaan negeri untuk memperkukuh kefahaman serta penghayatan Islam hingga ke peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan, pemantauan berkala perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau kelompangan supaya setiap inisiatif benar-benar mencapai matlamat dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Seterusnya, seruan dibuat kepada seluruh jentera pentadbiran supaya menggandakan usaha demi memastikan kesinambungan MBIdiperingati melalui sambutan tahunan, bahkan diterjemahkan melalui tindakan dan pencapaian yang memberikan makna kepada kehidupan masyarakat.

"Saya yakin nikmat pentadbiran Membangun Bersama Islam yang telah kita kecapi selama 36 tahun ini bertitik tolak daripada kesabaran, kesiapsiagaan dan ketakwaan yang terus dipelihara oleh seluruh lapisan kepimpinan, pentadbiran dan rakyat," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!