Accessibility Tools

Skip to main content

Perpindahan 84 keluarga orang asli Pos Pulat selesai, kebajikan penduduk terus diberi perhatian – YB Saizol

  • 20 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 35

GUA MUSANG, 20 Oktober – Sebanyak 368 penduduk daripada 84 ketua isi rumah komuniti Orang Asli Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias telah berpindah ke penempatan baharu di Plot A pada 7 September lalu, dengan kebajikan serta kemudahan asas penduduk terus diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail berkata, pembangunan perlu membawa manfaat yang dapat dirasai rakyat, khususnya melalui penyediaan tempat tinggal yang selesa, kemudahan asas yang baik serta peluang meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, meskipun Projek Hidroelektrik Nenggiri mempunyai kepentingan dalam menyokong keperluan tenaga negara, kebajikan dan masa depan komuniti yang terlibat perlu terus diberikan perhatian.

“Harapan kita adalah supaya perpindahan ke Plot A menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih baik, sambil hubungan kekeluargaan, adat dan budaya masyarakat Orang Asli terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Perpindahan Komuniti Orang Asli Pos Pulat ke Penempatan Baharu (Plot A), Gua Musang, semalam.

Beliau memaklumkan, proses perpindahan itu mencerminkan usaha bersama komuniti dan semua pihak terlibat, selain merakamkan penghargaan kepada pemimpin serta wakil komuniti yang membantu menyampaikan maklumat, mengemukakan keperluan penduduk dan melancarkan urusan berkenaan.

“Terima kasih buat Dato’ Mohd Rushdi Ismail Ketua Jajahan Gua Musang yang turut bersama Ts. Abidin Sarjo Pengarah Urusan TNB REMACO, pengurusan TNB Genco, TNB R&D, Pengarah JAKOA Negeri Mohd Faedyzal Mohamed serta pasukan-pasukan yang hadir menjayakan majlis penuh makna ini,” katanya. 

Menurutnya, perhatian seterusnya perlu diberikan kepada proses penyesuaian keluarga di penempatan baharu, termasuk urusan harian, sumber pendapatan dan penggunaan kemudahan yang disediakan.

Dalam aspek infrastruktur, beliau berkata, kemudahan seperti akses jalan yang selamat, bekalan air yang baik, sistem saliran serta kemudahan awam perlu diberikan perhatian bagi menyokong kehidupan harian penduduk.

“Selepas penduduk mula menetap di sini, maklum balas mengenai penggunaan kemudahan tersebut amat penting. Perkara yang memerlukan perhatian perlu dibawa kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan susulan secara terselaras,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, YB Saizol berharap kerjasama antara kerajaan negeri, TNB Genco, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Tanah dan Jajahan serta agensi berkaitan perlu diteruskan bagi memastikan keperluan komuniti mendapat perhatian sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, perpindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulat ke premis baharu yang melibatkan 41 murid dan 14 guru turut menjadi aspek penting bagi memastikan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian.

YB Saizol berharap ibu bapa terus memberikan sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah serta mengikuti pembelajaran dengan baik, manakala guru pula terus membimbing murid menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya bersama-sama menjaga penempatan baharu itu agar kekal selesa, selamat dan harmoni, sekali gus menjadi tempat anak-anak membesar dengan baik serta keluarga membina kehidupan yang lebih sejahtera.

Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh komuniti Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias, TNB, TNB Genco, pasukan Projek Hidroelektrik Nenggiri, JAKOA, Pejabat Tanah dan Jajahan, pihak sekolah serta semua agensi berkaitan atas kerjasama dalam menjayakan proses perpindahan berkenaan.

Pautan berjaya disalin!