Bengkel bioflok perkasa industri akuakultur Kelantan
-
20 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Tuan Saripudin
-
32
JELI, 20 Oktober - Penganjuran bengkel Biokoa: Bioflok Ternakan Tilapia mampu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi sistem bioflok melalui pendekatan teori dan praktikal, msmpu meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam bidang akuakultur sekali gus memperkasakan industri akuakultur di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bengkel itu memberi peluang kepada peserta memahami kaedah pengurusan sistem bioflok, teknik penternakan serta amalan bersesuaian untuk diaplikasikan dalam aktiviti akuakultur.
Menurutnya, pendedahan kepada teknologi dan kaedah penternakan yang sesuai amat penting bagi meningkatkan keupayaan pengusaha mengembangkan aktiviti akuakultur secara lebih terancang.
“Pendedahan melalui bengkel ini diharap dapat membuka peluang kepada peserta untuk meneroka bidang penternakan ikan tilapia sebagai salah satu aktiviti ekonomi yang berpotensi,”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Biokoa: Bioflok Ternakan Tilapia, di Fish Propagation House, Politeknik Jeli, pada Isnin.
Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) dan Politeknik Jeli Kelantan itu disertai 30 peserta.
Beliau berharap ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel berkenaan diharap tidak terhenti setakat latihan, sebaliknya dimanfaatkan dalam pelaksanaan projek penternakan sebenar.
Beliau memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pembangunan sektor pertanian dan agromakanan yang berpotensi memberikan manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam konteks ini katanya, industri akuakultur mempunyai ruang untuk terus dibangunkan menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran teknikal dan penggunaan teknologi penternakan yang bersesuaian.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan industri akuakultur memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pemain industri dan bakal pengusaha.
“Kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, KBCSB serta Politeknik Jeli Kelantan ini merupakan pendekatan baik dalam memperkukuh pembangunan industri berasaskan ilmu dan teknologi,” katanya.
Tambahnya, KBCSB berperanan menyelaras pelaksanaan bengkel itu, manakala kepakaran teknikal, kemudahan latihan dan tenaga pengajar daripada Politeknik Jeli Kelantan membantu memastikan peserta memperoleh pendedahan yang bersesuaian.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap kerjasama strategik berkenaan dapat diteruskan bagi memperluas perkongsian ilmu, meningkatkan keupayaan peserta mengaplikasikan teknologi yang dipelajari serta membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan dan pembangunan kemahiran lain yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri agromakanan Kelantan.
















