Pindaan Akta 355 diluluskan Kabinet pada 2022 namun tidak sempat dibentang – YB Wan Rohimi
-
20 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
29
KOTA BHARU, 20 Oktober – Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) pernah mendapat kelulusan Kabinet pada Ogos 2022 namun tidak sempat dibentangkan di Parlimen susulan pembubaran Dewan Rakyat pada tahun sama.
Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang YB Wan Rohimi Wan Daud berkata, cadangan itu dikemukakan ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Idris Ahmad, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Syariah.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel slot Wacana Intelektual bertajuk Penggubalan Semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 sempena Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, semalam.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi meneliti usaha meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, termasuk mencadangkan pindaan terhadap had hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta 355.
“Perkara pertama yang dibuat oleh Menteri Agama ketika itu ialah menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Syariah. Beliau meletakkan saya sebagai pengerusi dan meminta supaya Akta 355 dipinda,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, cadangan yang dikemukakan ketika itu melibatkan peningkatan had hukuman daripada penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan kepada cadangan had denda RM100,000 serta peningkatan had sebatan.
Menurutnya lagi, cadangan pindaan tersebut mendapat kelulusan dasar Kabinet pada Ogos 2022 sebelum memperoleh persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan persediaan bagi pembentangannya di Parlimen.
Katanya, pada 7 Oktober 2022 pihaknya memperoleh persetujuan berkenaan bagi membolehkan persediaan dokumen cadangan pindaan dibuat untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
Walau bagaimanapun, pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2022 menyebabkan cadangan berkenaan tidak dapat dibentangkan sebagaimana perancangan.
“Semua persediaan ketika itu sudah dibuat dan kita menjangkakan cadangan itu dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen. Namun, apabila Dewan Rakyat dibubarkan, proses tersebut tidak dapat diteruskan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha memperkasa Mahkamah Syariah bukan sahaja bergantung pada pindaan Akta 355, malah perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira struktur perundangan dan institusi kehakiman di peringkat negeri.
Beliau turut menyentuh cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri, termasuk peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah, penambahan satu lagi peringkat mahkamah serta perincian senarai negeri.
Menurutnya, perkara berkenaan wajar diberikan perhatian dalam usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang Syariah di Kelantan.
Beliau juga menjelaskan, pandangan berhubung cadangan tersebut dikemukakan berdasarkan perbincangan dalam jawatankuasa dan bukan sebagai pendirian rasmi kerajaan negeri.








