Pinda Perkara 121(1A) perkukuh kuasa Mahkamah Syariah
-
20 October 2026
-
Oleh:Asri Hamat
-
28
KOTA BHARU, 20 Oktober - Pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan perlu diberi perhatian serius bagi memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah, termasuk dalam aspek bidang kuasa dan kuasa kehakimannya.
Peguam bela dan Peguam cara Dr. Yusfarizal Yussoff berkata langkah itu antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan susulan beberapa keputusan Mahkamah Syariah yang sering dicabar di Mahkamah Sivil.
Katanya, pindaan berkenaan perlu bagi memberikan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah dalam perkara yang terbukti berada di bawah bidang kuasanya.
“Kalau sesuatu kes telah dibuktikan berada di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka Mahkamah Sivil tidak boleh kacau lagi."
Beliau berkata demikian dalam slot Wacana Intelektual sempena Persidangan Syariah dan Perundangan peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, Perkara 121(1A) ketika ini hanya menyentuh aspek bidang kuasa Mahkamah Sivil dan tidak memberikan kuasa kehakiman kepada Mahkamah Syariah sebagaimana yang dimiliki Mahkamah Sivil.
Beliau turut merujuk kepada kes Indira Gandhi yang menurutnya menyaksikan Mahkamah Syariah diibaratkan sebagai tribunal bawahan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan perlunya penelitian terhadap kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem kehakiman negara, khususnya berkaitan kuasa kehakiman yang dimilikinya.
“Kalau kerajaan pada masa akan datang ingin memberikan kuasa kehakiman kepada Mahkamah Syariah, kena pinda Perkara 121(1A) yang menjadikan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa kehakiman,” jelasnya.








