Video murid SRITI kutip sampah tular, MDKPI puji pendidikan berteraskan nilai
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 16 April — Tindakan sekumpulan murid Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Farabi Ketereh mengutip sampah di taman permainan sehingga tular di media sosial mendapat pujian Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) yang menyifatkannya sebagai contoh pendidikan berteraskan nilai yang berkesan.
Rakaman video tersebut memaparkan murid-murid bergotong-royong membersihkan kawasan taman permainan di Padang Taman Makmur, Kok Lanas selepas mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPc) luar bilik darjah bagi madah Tahfiz Quran Sunnah (TQS).
MDKPI dalam satu kenyataan memuji inisiatif sekolah berkenaan yang disifatkan sebagai contoh terbaik dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan kebersihan dan tanggungjawab bersama.
“Pendekatan holistik yang dilaksanakan SRITI Al-Farabi Ketereh itu dilihat bukan sahaja membentuk tingkah laku positif dalam kalangan murid, malah berpotensi melahirkan generasi yang lebih peka terhadap kesejahteraan komuniti dan alam sekitar pada masa hadapan,” menurutnya dalam kenyataan di laman rasmi, pada Selasa.
Video tersebut boleh ditonton di pautan https://www.facebook.com/share/r/1Fw95dQdv9/
Sehubungan itu, Guru Besar SRITI Al-Farabi Ketereh Muhammad Qamarul Bahjan Kamaruddin berkata, pendekatan tersebut merupakan usaha menyepadukan ilmu dan amalan dalam kehidupan seharian murid.
Guru Besar SRITI Al-Farabi Ketereh, Muhammad Qamarul Bahjan Kamaruddin
“PdPc luar bilik darjah memberi ruang kepada murid untuk menghayati pembelajaran secara lebih praktikal, dan aktiviti gotong-royong ini menjadi medium penting untuk menanam nilai kebersihan serta tanggungjawab terhadap persekitaran,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Jelasnya, usaha itu selari dengan tuntutan agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “الطهور شطر الإيمان” yang bermaksud kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
“Nilai ini bukan sekadar diajar, tetapi perlu dibudayakan. Apabila murid sendiri terlibat menjaga kebersihan, ia membentuk kesedaran dalaman yang lebih kukuh dan berpanjangan,” katanya.
Menurutnya lagi, penerapan nilai Fardu Ain dan Fardu Kifayah (KAFFAH) yang digariskan dalam silibus SRITI Malaysia menjadi asas dalam setiap madah yang diajar bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
“Konsep KAFFAH menuntut agar setiap ilmu yang dipelajari diterjemahkan dalam bentuk amalan. Justeru, aktiviti seperti ini menjadi platform untuk murid menghayati dan mengamalkan nilai tersebut secara menyeluruh,” ujarnya.


















