Penguatkuasa Agama perlu sedia ‘on-call’, utamakan pendekatan mendidik
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 16 April — Anggota penguatkuasa agama di Kelantan perlu sentiasa bersedia “on-call” serta mengutamakan pendekatan mendidik masyarakat sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan dalam mendepani cabaran semasa.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pendekatan berhikmah dan bersepakat amat penting bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang syariah dilaksanakan secara adil dan berkesan.
“Cabaran era kini menuntut semua anggota penguatkuasa bekerja mengikut ketetapan secara sepakat, selain pemerkasaan dan penambahan anggota perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa negeri dari semasa ke semasa,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pemantapan Integriti & Sistem Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Menurutnya, profesionalisme dan integriti merupakan tunjang utama dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berhemah serta diyakini masyarakat.
“Saya ingin menegaskan bahawa setiap anggota bukan sahaja berperanan sebagai penguatkuasa, tetapi juga sebagai pembimbing masyarakat. Pendekatan berhikmah perlu diutamakan sebelum sesuatu tindakan diambil,” katanya.
Bengkel selama dua hari itu menghimpunkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk pembentangan bertajuk Akauntabiliti Dalam Penguatkuasaan oleh mantan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Kelantan Tuan Zakaria Taib serta taklimat SOP Sistem e-Gat oleh Tuan Nik Muhammad Dato’ Nik Abdul Kadir dari Itqan Tech Solutions.
Selain itu, tajuk Standard Pembuktian Dalam Kes Jenayah Syariah turut dibentangkan oleh Hakim Syarie Muhammad Nabil Dato’ Muhammad Shukri bersama Ketua Pendakwa Syarie Hafiz Daud.
Manakala sesi perkongsian isu dan cabaran penguatkuasaan pula disampaikan oleh mantan Pengarah Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor Feisal Mohamed Ali.
Menurut YB Mohd Asri lagi, penganjuran bengkel tersebut berperanan meningkatkan kecekapan anggota penguatkuasa khususnya dalam aspek pengurusan sistem e-Gat, penyediaan kertas siasatan serta memupuk budaya kerja berpasukan.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan teknikal, malah membina kesepaduan dalam kalangan anggota bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih sistematik dan berintegriti,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK atas komitmen menjayakan bengkel berkenaan.
“Usaha ini amat penting dalam memastikan sistem penguatkuasaan syariah sentiasa relevan, berkesan dan diyakini masyarakat,” katanya.




















