Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato' Mumtaz Md Nawi


Dato' Mumtaz gesa SOP pakaian tahanan wanita Islam disemak segera

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA LUMPUR, 15 April — Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi menggesa kerajaan persekutuan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) etika berpakaian bagi tahanan wanita Islam bagi menjamin hak menutup aurat serta memelihara maruah sepanjang proses perundangan.

Menurutnya, semakan tersebut memerlukan kerjasama menyeluruh antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia bagi menambah baik peraturan sedia ada yang dilihat masih mempunyai kelompangan.

“Kerajaan perlu segera menyemak semula SOP etika berpakaian tahanan wanita Islam bagi menjamin hak menutup aurat dan memelihara maruah mereka sepanjang proses perundangan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Beliau berkata, masih terdapat kelemahan dalam sistem semasa yang belum sepenuhnya menjamin kemuliaan wanita Islam ketika berdepan tindakan undang-undang.

“Masih terdapat jurang kelemahan dalam sistem sedia ada yang belum sepenuhnya menjamin kemuliaan wanita Islam yang berdepan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan maruah tahanan wanita perlu dipelihara pada setiap peringkat, bermula daripada siasatan awal sehingga ke perbicaraan di mahkamah.

“Maruah tahanan wanita mesti dipelihara pada setiap peringkat, dari siasatan awal hingga ke perbicaraan. Sistem keadilan seharusnya bersifat mendidik, bukan memalukan atau menjatuhkan maruah individu,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pakaian mandatori di lokap dan penjara yang disifatkan masih tidak memenuhi piawaian syariah sepenuhnya.

“Pakaian mandatori sedia ada masih tidak memenuhi piawaian syariah sepenuhnya apabila ketiadaan tudung sempurna dan rekaan tertentu menyebabkan aurat terdedah, sekali gus memberi tekanan emosi kepada tahanan wanita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pengenalan set pakaian khas sebagai penyelesaian praktikal dan sistematik.

“Kita mencadangkan pengenalan ‘Set Pakaian Rasmi Menutup Aurat’ atau Transit Kit yang lebih labuh dan berlengan panjang sebagai solusi praktikal dan sistematik,” tambahnya.

Beliau turut menekankan kepentingan hak dan kesedaran dalam kalangan tahanan wanita Islam.

“Tahanan perlu diberi hak untuk memilih serta penerangan jelas mengenai kepentingan menutup aurat sejak saat pertama mereka ditahan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau mengusulkan agar latihan sensitiviti dalam kalangan pegawai penguat kuasa diperkasa, khususnya dalam memahami keperluan agama dan privasi wanita.

“Latihan sensitiviti kepada pegawai perlu diperkasakan, dan pemeriksaan fizikal terhadap tahanan wanita hendaklah dilaksanakan secara eksklusif oleh pegawai wanita bagi menjaga batas privasi,” tegasnya.

Beliau berkata, pemerkasaan mekanisme pemantauan serta saluran aduan yang telus perlu dilaksanakan bagi memastikan hak tahanan terus terpelihara.

“Kita berharap transformasi SOP ini dapat dilaksanakan segera sebagai sebahagian daripada reformasi institusi keselamatan yang lebih berteraskan kemanusiaan,” katanya.

Tambahnya, penambahbaikan tersebut bukan sahaja mengangkat imej Malaysia sebagai negara Islam yang progresif, bahkan memastikan institusi lokap dan penjara berfungsi sebagai pusat pemulihan yang lebih berperikemanusiaan, sekali gus memelihara maruah wanita Islam sepanjang proses pengadilan.

Pautan berjaya disalin!