Accessibility Tools

Skip to main content

Program Penempatan Industri 2026 rapatkan jurang latihan-industri

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 15 April — Program Penempatan Pekerjaan Industri 2026 anjuran Urus Setia Belia, Sukan & NGO Negeri Kelantan (U-BeS) membuka ruang pengalaman kerja sebenar kepada 50 belia tempatan, sekali gus merapatkan jurang antara latihan dan keperluan industri.

Pelepasan peserta disempurnakan Pengarah U-BeS Mohamad Kamal Mohamed di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, program berimpak tinggi itu memberi peluang kepada peserta merasai suasana kerja secara langsung dalam pelbagai sektor, selain meningkatkan kebolehpasaran dan kesiapsiagaan tenaga muda negeri.

“Program ini membuka ruang kepada anak muda untuk memahami realiti dunia pekerjaan, membina disiplin serta meningkatkan kemahiran insaniah dan teknikal yang amat diperlukan industri hari ini,” katanya.

Katanya lagi, inisiatif tersebut bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan sementara, malah menjadi platform membentuk jati diri dan daya saing belia secara menyeluruh.

“Program berimpak tinggi ini merupakan antara inisiatif strategik U-BeS dalam merapatkan jurang antara latihan dan keperluan sebenar industri, dengan memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman kerja secara langsung dalam pelbagai sektor,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua peserta yang terdiri daripada belia tempatan dipilih bagi mengikuti penempatan industri yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah membolehkan mereka membina rangkaian profesional serta meningkatkan kemahiran praktikal selari dengan kehendak pasaran semasa.

“Kita mahu belia Kelantan bukan sahaja mendapat pekerjaan, tetapi mampu berkembang sebagai tenaga profesional yang berdaya saing dan berintegriti,” tambahnya.

Tambahnya, komitmen tinggi yang ditunjukkan peserta mencerminkan kesediaan generasi muda untuk memanfaatkan peluang yang disediakan dalam membina masa depan kerjaya.

“Program ini selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negeri yang menekankan keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan nilai, sekali gus memperkasa peranan U-BeS sebagai pemacu agenda belia di Kelantan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!