Accessibility Tools

Skip to main content

i-PASS cegah NCD, pertingkat produktiviti penjawat awam

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 15 April — Program i-PASS diperkenalkan sebagai pendekatan holistik promosi kesihatan bagi membudayakan gaya hidup sihat di tempat kerja, khususnya dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) serta meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Pelaksanaan program oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Portfolio Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Bilangan 1/2026 yang dipengerusikan Exconya, YB Hilmi Abdullah di Bilik Gerakan Negeri, di sini, pada Selasa.

Menurut YB Hilmi, Program i-PASS merupakan pendekatan menyeluruh yang menumpukan pembudayaan gaya hidup sihat dalam persekitaran kerja sebagai langkah pencegahan awal terhadap penyakit kronik.

“Program ini bertujuan mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti Diabetes Mellitus dan Hipertensi, di samping meningkatkan produktiviti serta kesejahteraan pekerja,” katanya menerusi media sosial pada Selasa.

Menurutnya lagi, pelaksanaan inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menyasarkan pembentukan rakyat lebih sihat menjelang 2030.

Dalam mesyuarat sama, turut dibentangkan Garis Panduan Pembinaan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) di dalam dan luar bangunan dalam kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setakat ini, Kelantan mempunyai kira-kira 25 EVCB dan PBT di negeri ini disasar menyediakan sebanyak 200 kemudahan berkenaan menjelang 2030,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!